KERAJAAN Negeri Johor menetapkan tempoh sehingga hujung bulan ini bagi mengenalpasti semua kilang berisiko tinggi di Pasir Gudang bagi melaksanakan pelan memindahkan kilang terlibat, kata Mohd Khuzzan Abu Bakar.
Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Negeri itu memberitahu The Malaysian Insight bahawa agensi yang relevan kini sedang mengumpulkan data kilang terbabit.
“Kita akan mampu mengenalpasti semua kilang pada hujung bulan ini atau seawal bulan depan.
“Bagi pelan pemindahan semula, kita mensasarkan untuk berbuat demikian secepat mungkin,” katanya.
Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal berkata pihaknya sedang mengkaji kemungkinan untuk memindahkan kilang kimia berisiko tinggi dan mewujudkan zon penampan antara kawasan industeri dan penempatan.
Beliau berkata kerajaan negeri serius dalam menangani masalah pencemaran di Pasir Gudang dan akan menubuhkan dua jawatankuasa bagi memantau situasi di kawasan itu.
Khuzzan berkata ia bukan tugas mudah untuk memindahkan semula kilang kerana ia datang dari industri perdagangan yang berbeza.
“Sukar untuk memindahkan semula tanpa pengurusan yang baik. Kita perlu meneliti jenis industri dan kawsan yang mereka akan beroperasi,” katanya.
Khuzzan berkata keputusan untuk pemindahan semula akan diputuskan oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dan kerajaan negeri.
“Sebaik saja mereka mempunyai maklumat, kemudian mereka akan berbincang kilang yang terlibat dan lokasi baharu untuk mereka beroperasi.”
Setakat Jumaat lalu, Jabatan Alam Sekitar Johor (JAS) dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) sudah memeriksa 255 kilang.
Mereka turut mengeluarkan 125 kompaun atas kesalahan pembuangan berjadual sisa buangan, industri dan kumbahan.
Sebagai langkah masa panjang, kerajaan akan menubuhkan dua jawatankuasa bagi memantau situasi pencemaran di kawasan itu.
Saut daripada jawatankuasa itu akan mengkaji kesan pencemaran di Pasir Gudang manakala satu lagi akan menyediakan status terkini pencemaran di kawasan itu.
Bulan lalu, lebih 700 orang kebanyakannya pelajar, dirawat kerana mengalami masalah sesak nafas dipercayai akibat kesan pembuangan sisa kimia oleh kilang di kawasan itu. – 15 Julai, 2019.
Komen