18 kilang haram bakal ditutup di Pasir Gudang


Noel Achariam

Kejadian pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim menyebabkan 3,000 orang awam dan pelajar menerima rawatan sementara 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup serta merta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Julai, 2019.

PIHAK berkuasa Johor mengenalpasti sekurang-kurangnya 18 kilang haram di Pasir Gudang dan akan bertindak menutup kesemua kilang itu seawal minggu ini.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor Wan Abdul Latiff Wan Jaafar memberitahu The Malaysian Insight bahawa pejabat tanah daerah dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) sudah mengenal pasti semua kilang itu beroperasi di tanah milik kerajaan negeri.

“Kita akan bekerjasama dengan agensi yang relevan untuk memeriksa mereka.

“Setakat ini kita sudah memeriksa dan menutup tiga kilang.

“Operasi kami akan berterusan walaupun sudah mencapai sasaran memeriksa 250 kilang,” katanya.

Wan Abdul berkata tindakan akan diambil mengikut Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 jika berlaku sebarang pencemaran manakala MPPG mempunyai kuasa untuk menutup kilang yang beroperasi secara haram.

“Daripada yang kita tahu, kebanyakan kilang haram beroperasi di tanah milik kerajaan negeri.”

JAS juga mengendalikan pemeriksaan terhadap lebih 255 kilang dan mengeluarkan 125 kompaun atas kesalahan melibatkan pembuangan berjadual sisa buangan,  sisa industri dan kumbahan.

Wan Abdul berkata pihaknya mengeluarkan 59 notis terhadap kilang yang tidak mematuhi Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan JAS.

“Kita cuba menutup kilang yang tidak terlibat dalam kemungkinan pencemaran toksik.

“Kita juga menyita peralatan 11 kilang supaya mereka tidak boleh memproses apa-apa.

“Mereka perlu patuh dengan peraturan, kemudian baru mereka boleh menyambung operasi.

Wan Abdul berkata pihaknya juga mengambil tindakan undang-undang terhadap tiga kilang yang melakukan kesalahan serius.

“Kalangan mereka tidak mengikut prosedur membuang sisa secara berjadual dan tidak menghantar laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).”

Bulan lalu, lebih 700 orang kebanyakannya pelajar dirawat kerana mengalami masalah sesak nafas dipercayai akibat pencemaran udara yang dicetuskan kilang kimia di kawasan itu.

Ini merupakan insiden kedua melibatkan pencemaran toksik di Pasir Gudang.

Insiden pertama berlaku pada Mac apabila lebih 1,000 orang dirawat di hospital dan semua sekolah di daerah itu ditutup selama beberapa hari. – 15 Julai, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen