Faiz Fadzil gagal rebut jawatan Amanah Permatang Pauh


Zaim Ibrahim

Timbalan Ketua Pemuda Amanah Faiz Fadzil Noor yang merupakan anggota jawatankuasa penaja Amanah Permatang Pauh gagal mengekalkan jawatan tersebut dalam pemilihan sulung yang diadakan hari ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Julai, 2019

TIMBALAN Ketua Pemuda Amanah Muhammad Faiz Fadzil gagal merebut jawatannya sebagai ahli jawatankuasa parti itu di bahagian Permatang Pauh.

Adun Permatang Pasir itu yang merupakan anggota jawatankuasa penaja Amanah Permatang Pauh tidak berjaya mengekalkan jawatan tersebut dalam pemilihan sulung yang diadakan hari ini.

Pembantu beliau, Muhammad Hamdi Md Noor mengesahkan perkara tersebut kepada The Malaysian Insight.

“Ya betul (Faiz Fadzil gagal dalam pemilihan AJK bahagian). Beliau terima keputusan dengan positif kerana ia adalah keputusan yang dibuat berdasarkan pemilihan demokrasi,” katanya.

Bagaimanapun Faiz akan meneruskan khidmat beliau peringkat kawasan Permatang Pasir dan sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), kata Muhammad Hamdi.

Seramai 15 orang AJK yang terpilih hari ini juga memilih peguam syariah Ahmad Tarmizi Jusoh sebagai ketua kawasan Permatang Pauh dan seorang guru Yusfizal Mat Yusuf sebagai timbalannya.

Jawatan ketua kawasan sebelum ini disandang oleh pakar perunding kanak-kanak, Dr. Zaidi Zakaria.

Pemilihan jawatan untuk bahagian pertama kali diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pemilihan untuk ketua sayap Pemuda, Wanita dan Wanita Muda juga akan diadakan di seluruh negara bermula bulan ini hingga Ogos.

Pemilihan Amanah negeri pula akan berlangusng antara September hingga Oktober dan jawatan utama termasuk presiden, timbalan presiden serta AJK Amanah pusat pada Disember.

Faiz, 42, terkenal sebagai anak kepada pemimpin PAS yang tersohor, Allahyarham Fadzil Noor.

Beliau dilantik mengetuai LKIM, salah satu agensi bawah kementerian pertanian dan industri asas tani pada Oktober tahun lalu. – 14 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen