SEBAIK saja perbicaraan kes bunuh Kim Jong-nam bermula hari ini, peguam bela akan memulakan dengan satu soalan: Mengapa mereka tidak dibenarkan bercakap dengan tiga warga Korea Utara yang didakwa terbabit dalam pembunuhan itu.
Mereka akan membangkitkan isu mengapa mereka tidak diberikan akses kepada tiga warga Korea Utara yang dibenarkan meninggalkan Malaysia sebaik saja pembunuhan itu berlaku, dan mengapa keterangan mereka kepada polis tidak diberikan kepada peguam bela.
Tiga terbabit, termasuk pegawai diplomat, mendapatkan perlindungan di kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur selepas pembunuhan Jong-nam pada 13 Februari. Mereka dikehendaki untuk disoal siasat oleh pihak berkuasa Malaysia namun Korea Utara enggan memberikan kerjasama, dan mendakwa Jong Nam meninggal dunia kerana serangan jantung.
Dalam perjanjian antara Pyongyang dan Putrajaya, tiga terbabit dan mayat Jong-nam, dijadikan pertukaran dengan sembilan rakyat Malaysia yang dihalang daripada meninggalkan Korea Utara untuk pulang dengan selamat.
Perbicaraan dua wanita – warga Vietnam Doan Thi Huong dan warga Indonesia Siti Aishah – yang didakwa membunuh Jong-nam, bermula di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.
Kedua-dua tertuduh didakwa menyebabkan kematian Jong Nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 13 Februari dengan menyapu muka mangsa dengan VX, sejenis cecair kimia yang disifatkan oleh PBB sebagai senjata pemusnah.
Peguam yang mewakili dua tertuduh itu memberitahu The Malaysian Insight bahawa pihak berkuasa masih belum menyerahkan kenyataan warga Korea Utara yang dibenarkan meninggalkan negara ini kepada mereka.
“Kami sudah meminta dokumen dan kenyataan itu namun ia ditolak,” kata mereka.
Gooi Soon Seng yang mewakili Siti Aishah berkata beliau percaya pihak pendakwaan tidak akan memanggil tiga warga Korea Utara itu sebagai saksi.
“Mereka juga tidak ada untuk pasukan pembelaan,” kata Gooi kepada The Malaysian Insight.
“Kami juga meminta polis bekalkan salinan kenyataan mereka.”
Hisyam Teh Pok Teik yang mewakili Doan berkata mereka akan bangkitkan perkara itu apabila perbicaraan bermula hari ini.
Sementara itu, pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad berkata peguam mesti bersabar.
“Bersabar, bersabar..buat masa ini kami tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan. Kami akan dedahkan ketika perbicaraan,” kata Iskandar.
Walaupun mendakwa ia dirancang, Hisyam berkata Doan kekal positif dan sedia untuk menghadapi perbicaraan dan mempertahankan yang dia tidak bersalah.
“Saya bertemu dengannya beberapa kali. Dia dalam keadaan sihat dan bagus. Dia menunggu hari perbicaraan,” kata Hisyam.
“Kami sudah bersiap sedia. Itu saja yang boleh saya katakan. Saya tidak boleh dedahkan butiran tentang kes ini.”
Perbicaraan dijangka berlarutan selama 23 hari, sehingga November. Dijangka pada 10 hari pertama perbicaraan akan mendengar keterangan pakar.
Sementara itu, Gooi berkata pembelaan hanya berkemungkinan memiliki peluang untuk membawa saksi mereka tahun depan.
Katanya, Siti Aishah juga berada dalam keadaan baik dan dibenarkan membuat panggilan kepada keluarganya.
“Tiada seorang pun daripada mereka datang melawat namun dia dibenarkan menghubungi keluarganya. Dia dalam keadaan baik,” katanya.
Doan diwakili tiga peguam – Hisyam, Naran Singh dan Salim Bashir manakala Siti Aishah diwakili Gooi dan pasukannya.
Kedutaan Indonesia dan Vietnam memberi kebebasan kepada peguam itu untuk mengendalikan kes itu. – 2 Oktober, 2017.

Komen