KESATUAN Eropah (EU) menggesa Rusia untuk menghormati Perjanjian Kuasa Nuklear Jarak Sederhana (INF) selepas Moscow menggantung penyertaannya dalam perjanjian itu.
“Kami bimbang dengan perkembangan berhubung perjanjian INF yang akan berakhir pada 2 Ogos ini,” kata ketua dasar luar EU Federica Mogherini.
“Hari-hari yang mendatang merupakan peluang akhir untuk dialog dan mengambil langkah sewajarnya bagi menjaga kepentingan keselamatan Eropah,” katanya.
Rusia dan Amerika Syarikat (AS) menggantung penyertaan mereka dalam perjanjian era Perang Dingin itu yang melarang peluru berpandu berkeupayaan nuklear.
Kedua-dua negara saling tuduh menuduh melanggari perjanjian itu.
Sementara itu, Washington berkata akan menarik diri dari perjanjian itu pada 2 Ogos ini melainkan Rusia memusnahkan sistem baru peluru berpandu yang didakwa mencabul perjanjian itu.
Mogherini berkata EU menggesa Rusia untuk mengambil serius kebimbangan yang disuarakan berhubung sistem peluru berpandu 9M729.
Katanya, Rusia perlu mengambil tindakan telus dengan mematuhi perjanjian tersebut.
INF ditandatangai pada 1987 bagi mengakhiri Perang Dingin antara Presiden AS Ronald Reagan dan pemimpin Soviet Mikhail Gorbachev.
Perjanjian itu melarang penggunaan peluru berpandu yang dilancarkan dari darat dengan jarak antara 500 ke 5,500 kilometer. – AFP, 14 Julai, 2019.
Komen