Penunjuk perasaan bertempur lagi dengan polis di Hong Kong 


Puluhan ribu penunjuk perasaan berarak melalui Sha Tin pada Ahad bertemour dengan polis anti rusuhan. – Gambar EPA, 14 Julai, 2019

POLIS dan penunjuk perasaan sekali lagi bertempur di Hong Kong pada Ahad dalam bantahan terhadap rancangan ekstradisi ke China yang masih tidak menunjukkan jalan penyelesaian.

Polis menggunakan penyembur lada dan belantan ke atas sekumpulan penunjuk perasaan yang memenuhi jalan raya di Sha Tin, iaitu sebuah daerah yang terletak antara pelabuhan dan sempadan China.

Penunjuk perasaan bertopeng bertindak balas dengan mendirikan penghadang menggunakan pagar besi dan bertempur dengan polis anti rusuhan.

Hong Kong pernah digegarkan dengan bantahan aman lebih besar serta beberapa konfrontasi ganas dengan pihak polis yang dicetuskan undang-undang yang membenarkan ekstradisi ke tanah besar China dan negara lain.

Bulan lalu, Parlimen diserang sekumpulan penunjuk perasaan bertopeng dalam bantahan yang belum pernah berlaku di negara itu.

Rang undang-undang berkenaan bagaimanapun ditangguhkan, namun ia hanya memberi kesan kecil dan menyebabkan pengaruh yang lebih luas yang menggesa pembaharuan demokrasi.

Penunjuk perasaan turut menuntut rang undang-undang itu dimansuhkan sama sekali, mengadakan siasatan bebas terhadap polis yang menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah serta pengampunan kepada mereka yang ditahan dan pemimpin Carrie Lam meletakkan jawatan.

Puluhan ribu penunjuk perasaan berarak melalui Sha Tin pada Ahad, iaitu minggu kelima yang menyaksikan Hong Kong dibanjiri perhimpunan besar-besaran.

Hampir kesemuanya berakhir dengan keganasan antara polis dan penunjuk perasaan.

“Kita telah banyak kali berarak tetapi kerajaan masih enggan mendengar dan memaksa semua orang turun ke jalan raya,” kata penunjuk perasaan berusia 24 tahun Tony Wong. – AFP, 14 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen