GEMPA berukuran 7.3 magnitud melanda kepulauan Maluku di timur Indonesia pada Ahad.
Ia disahkan oleh pakar seismologi Amerika Syarikat, namun tiada amaran tsunami dikeluarkan.
Gempa berkenaan melanda pada kedalaman 10 kilometer kira-kira 165 kilometer dari Ternate di Utara Maluku pada pukul 6.28 petang, menurut Pemerhati Geologi AS.
“Gempa itu agak kuat menyebabkan penduduk lari keluar dari kediaman masing-masing. Mereka panik dan kebanyakannya hanya duduk di tepi jalan,” kata pegawai mitigasi bencana Indonesia yang hanya mahu dikenali sebagai Mansur.
Pegawainya sedang menilai situasi selepas gempa namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan, katanya kepada AFP.
Di bandar Labuha, yang merupakan bandar terdekat dengan pusat gempa, penduduk panik bertindak melarikan diri dengan motosikal ke kawasan lebih tinggi, menurut jurugambar AFP yang berada di bandar itu ketika gempa.
Pegawai bencana tempatan Ihsan Subur memberitahu Metro TV tiada kerosakan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini, namun penduduk berkumpul di tepi jalan dan ada yang ke kawasan lebih tinggi.
“Bekalan elektrik terputus ketika gempa, kini keadaan kembali normal,” kata Ihsan dan menambah sekurang-kurangnya tujuh gempa susulan dirasai selepas gempa besar.
Kawasan berkenaan turut dilanda gempa berukuran 6.9 magnitud minggu lalu.
Indonesia kerap dilanda gempa dan aktiviti gunung berapi kerana kedudukannya pada Lingkaran Api Pasifik, yang mana plet tektonik bertembung.
Tahun lalu, gempa berukuran 7.5 magnitud disusuli tsunami melanda Palu di kepulauan Sulawei menyebabkan lebh 2,200 terbunuh dan ribuan lagi yang hilang turut diisytiharkan terbunuh.
Pada 26 Disember, 2004, gempa berukuran 9.1 magnitud melanda perairan Sumatra dan mencetuskan tsunami menyebabkan lebih 220,000 nyawa terkorban di seluruh kawasan Lautan Hindi, termasuk 170,000 di Indonesia. – AFP, 14 Julai, 2019
Komen