HUJAN lebat berterusan mencetuskan banjir dan tanah runtuh di Nepal menyebabkan sekurang-kurangnya 50 orang maut, kata pihak berkuasa.
Barat Laut India turut berdepan bencana berkenaan dengan 11 kematian direkodkan apabila paras sungai melimpah.
Hujan lebat sejak Selasa lalu melanda beberapa daerah di Nepal, terutamanya di wilayah timur dan selatan menyebabkan ribuan penduduk terjejas.
Jurucakap polis Nepal, Bushwaj Pokharel berkata, setakat ini 33 orang dilaporkan masih hilang manakala 1,100 orang telah diselamatkan.
“Kita telah menggerakkan semua sumber yang ada di negara ini untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
“Banyak kawasan terjejas yang masih tidak dapat dicapai,” katanya kepada AFP.
Pihak berkuasa menjangkakan paras sungai akan kembali normal bermula Isnin.
Musim hujan bermula pada Jun hingga September menyebabkan kematian dan kemusnahan di seluruh Asia Selatan setiap tahun.
Di India, sekurang-kurangnya 11 kematian dan lebih 20,000 penduduk ditempatkan di kem sementara di negeri Assam.
Di Bangladesh, kumpulan bantuan sukarela kepada pelarian Rohingya berkata dua orang termasuk kanak-kanak terbunuh dalam bencana itu.
Tahun lalu, lebih 1,200 kematian dicatatkan di seluruh Asia Selatan berikutan bencana itu yang mana Kerala, India berdepan banjir paling buruk dalam tempoh 100 tahun. – AFP, 14 Julai, 2019
Komen