Lelaki bersenjata mati ditembak serang pusat tahanan migran AS


Jabatan Imigresen AS berdepan dengan krisis pendatang haram di sempadan selatan negara itu.– Gambar EPA, 14 Julai, 2019

SEORANG lelaki bersenjata yang bertindak menyerang pusat tahanan imigresen Amerika Syarikat ditembak mati selepas berdepan dengan polis di barat laut bandar Tacoma, kata pihak berkuasa.

Pegawai polis tiba di pusat tahanan berkenaan selepas menerima laporan seorang lelaki bersenjatakan senapang membakar sebuah kereta dan cuba untuk membakar sebuah tangki gas, kata polis dalam satu kenyataan.

Lelaki terbabit yang turut membawa suar dan sebuah beg sebagai senjata tambahannya, mati ditembak polis yang tiba ke lokasi, tambah polis dalam kenyataan itu.

Penyerang terbabit dikenal pasti sebagai Willem Van Spronsen, 69.

Beliau mempunyai rekod jenayah kerana menyerang anggota polis ketika melakukan tunjuk perasaan di luar pusat tahanan berkenaan tahun lalu, menurut laporan media tempatan.

Tiada pegawai polis yang terbabit dalam tembakan itu cedera dan motif serangan masih disiasat. 

Jabatan Imigresen AS berdepan dengan krisis pendatang haram di sempadan selatan negara itu selepas ribuan pendatang memasuki AS setiap bulan.  – AFP, 14 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen