Apa sudah jadi pada dana RM6.4 juta, soal mangsa pencemaran Pasir Gudang


Noel Achariam

Penduduk Taman Pasir Putih membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Seri Alam di Johor Bahru hari ini berhubung peruntukan RM6.4 juta yang digunakan untuk menangani krisis pencemaran Sungai Kim Kim. – Gambar The Malaysian Insight, 14 Julai, 2019.

PENDUDUK Taman Pasir Putih mahu pihak berkuasa menyiasat penggunaan peruntukan RM6.4 juta yang digunakan untuk membersihkan Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor selepas insiden pencemaran toksik kali pertama berlaku pada Mac.

Timbul persoalan tentang peruntukan yang mereka dakwa masih belum terima sebarang bantuan dari kerajaan negeri.

Timbalan pengerusi jawatakuasa penduduk Pasir Putih, Rafee Abdullah berkata 110 mangsa yang terjejas akibat pencemaran toksik masih menunggu bantuan dari kerajaan negeri.

“Kami mahu tahu jika peruntukan yang diberikan digunakan secara berkesan dan apakah bentuk bantuan yang mangsa akan dapat.

“Kami juga mahu pihak berkuasa menyiasat jika terdapat sebarang elemen rasuah dan salah laku yang menyebabkan pencemarakan,” kata Rafee selepas membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Seri Alam di Johor Bahru hari ini.

Beliau berkata jika pihak berkuasa gagal menangani isu itu, penduduk akan merujuk perkara itu ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada bulan depan untuk mendapatkan jawapan.

Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) sedang membersihkan sisa toksik dari Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 16 Mac, 2019.

Pada Mac, bekas menteri besar Osman Sapian berkata kerajaan Johor akan memperuntukkan RM6.4 juta bagi menangani bencana pencemaran Sungai Kim Kim.

Beliau berkata dana itu akan digunakan untuk membersihkan sungai yang tercemar dan membantu mereka yang terjejas.

Krisis kesihatan yang berlaku pada Mac menyebabka 6,000 penduduk terjejas akibat pembuangan sisa toksik ke sungai itu.

Dalam kes terbaru, lebih 700 orang, kebanyakannya pelajar, dirawat akibat mengalami masalah sukar bernafas, dipercayai akibat pembuangan sisa toksi oleh kilang kimia di kawasan berhampiran.

Rafee berkata kerajaan negeri perlu menunjukkan ketelusan tentang penggunaan dana itu bagi mengelakkan spekulasi tentang salah laku.

“Sejak gelombang pertama dan kedua, pihak berkuasa masih belum membantu keluarga yang terjejas. Kami berharap mereka akan bertindak segera,” katanya. – 14 Julai, 2019.

Rafee Abdullah membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Seri Alam di Johor Bahru hari ini berhubung peruntukan RM6.4 juta yang digunakan untuk menangani krisis pencemaran Sungai Kim Kim. – Gambar The Malaysian Insight, 14 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen