Bekas diktator Bangladesh meninggal dunia


Hussain Muhammad Ershad meninggal dunia hari ini pada usia 89 tahun, beberapa minggu selepas dirawat di hospital Dhaka. – Gambar AFP, 14 Julai, 2019.

BEKAS diktator tentera Bangladesh Hussain Muhammad Ershad meninggal dunia hari ini pada usia 89 tahun, beberapa minggu selepas dirawat di hospital Dhaka, kata pegawai.

Jeneral Ershad memerintah Bangladesh hampir sedekad sebelum tersingkir kerana kebangkitan rakyat pada 1990 dan dipenjarakan bertahun lamanya kerana jenayah korupsi.

Beliau meninggal dunia kerana sakit tua, kata Kazi Firoz Rashid teman lamanya yang juga wakil rakyat partinya, Parti Jatiya kepada AFP. Jurucakap tentera Abdullah bin Zaid mengesahkan kematian itu.

Ershad yang juga penyair prolifik, adalah ketua tentera negara itu yang pada 1982 melakukan rampasan kuasa berdarah selepas menyingkirkan kerajaan dipilih rakyat.

Pemerintahannya dipenuhi kontroversi termasuklah menjadikan Islam agama rasmi negara sekular majoriti Islam itu.

Kenyataannya kepada wartawan tempatan dari penjara pada 1996 pula menyebut yang “kegagalan terbesarnya mentadbir negara adalah memerintah dengan jiwa lembut penyair.”

Walaupun banyak kes jenayah terhadapnya, Ershad tampil sebagai kuasa besar politik Bangladesh sejak 1990an selepas partinya, Jatiya menjadi parti ketiga terbesar negara itu.

Beliau juga dipercayai jadi punca hubungan keruh Perdana Menteri Sheikh Hasina dan Ketua Pembangkang Khaleda Zia.

Zia dipenjarakan lebih 10 tahun kerana tuduhan rasuah.

Bekas jeneral itu menjadi sekutu rapat Hasina dan terus popular di kawasan utara negara itu, dipilih jadi ahli Parlimen sebanyak enam kali berturut-turut. – AFP, 14 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen