MANHATTAN, New York terputus bekalan elektrik semalam, menyebabkan teater Broadway tidak dapat melakukan pementasan, sistem kereta api bawah tanah tertunda dan memadamkan papan iklan gergasi di Times Square.
Hampir 42,000 pengguna terputus bekalan elektrik awal malam semalam, menurut syarikat utiliti Con Edison.
Datuk Bandar Bill de Blasio menerusi Twitter berkata kejadian itu berlaku disebabkan “kebakaran lubang”, tetapi kemudian memberitahu CNN punca sebenar masih disiasat.
“Ada sesuatu tak kena dalam pemindahan kuasa kepada satu bahagian bandar ke bahagian lain untuk memenuhi permintaan bekalan,” kata de Blasio.
Di media sosial, pengguna berkongsi gambar keadaan stesen kereta api bawah tanah dalam kegelapan.
“Sementara Con Edison berusaha mengembalikan bekalan kuasa di Manhattan, kami menyeru semua orang mengelak daripada memasuki kawasan bawah tanah stesen kereta api,” kata Pihak Berkuasa Pengangkutan Metropolitan New York di Twitter.
Manakala, bomba dikejutkan dengan panggilan kecemasan daripada penduduk yang terperangkap dalam lif.
Penduduk New York bekerjasama berdepan kegelapan itu, ada yang menolong mengawal lalu lintas dan konsert di Carnegie Hall yang terganggu diteruskan di tepi jalan.
Kejadian itu menjejaskan sebahagian besar Manhattan, termasuklah kejiranan Hell’s Kitchen dan kawasan teater Broadway.
Ia berlaku pada ulang tahun ketiadaan elektrik pada 1977 yang berlaku ketika New York dilanda krisis ekonomi.
Rompakan dan vandalisme tercetus, menjejaskan ribuan perniagaan.
Dua puluh lima jam dan beratus orang ditangkap, bekalan elektrik pulih seperti biasa. – AFP, 14 Julai, 2019.
Komen