Pakatan sama sahaja dengan BN, kata pakar ekonomi


Alfian Z.M. Tahir

Pakatan Harapan tiada kesungguhan politik untuk menghapuskan pembiayaan dan penaungan politik, kata pakar ekonomi ternama Prof Dr Edmund Terrence Gomez. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 14 Julai, 2019.

KERAJAAN Pakatan Harapan tiada beza dengan pentadbiran Barisan Nasional dalam aspek pembiayaan dan penaungan politik, kecam pakar ekonomi ternama Prof Dr Edmund Terrence Gomez.

Bercakap pada dialong Cabaran Nasional di Malaysia Baharu semalam, ahli akademik itu juga membandingkan bagaimana negara diurus oleh BN dahulu dan oleh PH sekarang.

“Sekarang kita ada lapan parti politik berbeza mengawal kerajaan negeri. Mereka ada kawalan terhadap rangkaian penaungan.

“Tidak ada kesungguhan politik dalam parti ini untuk memecahkan sistem yang membiakkan pembiayaan politik, menggalakkan penaungan dan tidak akan membolehkan kita melakukan pembaharuan yang diperlukan untuk membantu rakyat, terutama sekali orang miskin di lapangan,” kata Gomez.

“Sistem ini perlu dirombak tetapi tiada kesungguhan politik untuk berbuat demikian. Saya tanya anda, adakah ada perubahan (dalam aspek pembiayaan dan penaungan politik). Anda lihat data dan tanya sendiri apa yang berbeza?” tambahnya.

Untuk membuktikan dakwaan itu, Gomez menunjukkan hasil kajiannya tentang pelantikan politik dalam agensi berkaitan kerajaan negeri kepada hadirin.

“Ini kerajaan Selangor bawah PKR. Lihat jumlah syarikat yang mereka kawal dan tengok juga siapa pengarahnya. Pulau Pinang bawah DAP. Sama sahaja, tengok ahli politik yang sekarang menjadi pengarah dalam GLC ini.

“Untuk adil, Umno, Johor pun begitu. PAS apatah lagi,” katanya merujuk kepada lantikan politik dalam GLC milik negeri.

Jun lalu, Gomez mendesak kerajaan negeri membubarkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan negeri, Menteri Besar Inc (MBI) dan Chief Minister Inc (CMI). – 14 Julai, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen