UMNO tidak akan mengkhianati PAS lagi sebagaimana yang pernah terjadi di masa lalu kerana mereka kini senasib, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yakin insiden 1978 tidak akan berulang lagi apabila PAS ditendang keluar daripada Barisan Nasional (BN) susulan perbalahan berhubung kerajaan perpaduan yang ditubuhkan di Kelantan.
“Umno tidak akan mengkhianati dalam ‘taawun siyasi’ kerana pada 1978 mereka (PAS) rasa dikhianati Umno.
“Tapi mana mungkin soal pengkhianatan berlaku kerana (nasib) Umno kini sudah terhantuk baru terngadah dan kifarah mungkin terkena pada kita.
“Kita kalah bukan saja di negeri tetapi di Putrajaya dan kini kita sekalam dengan PAS sebagai pembangkang,” katanya semasa merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Tangga Batu, Melaka malam tadi.
PAS pernah menjalin kerjasama politik dengan Umno semasa Pilihan Raya Umum (PRU) 1974.
Namun hubungan kerjasama dua parti itu berakhir pada 1978 dan menjadi seteru sehinggalah kekalahan BN dalam PRU14.
Kedua-dua parti kini menjalin kerja sama baru dengan niat untuk mendapatkan sokongan Melayu untuk mengalahkan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum akan datang.
Dalam ucapannya yang dihadiri lebih 500 ahli Umno, beliau berkata selagi beliau menjadi presiden, tiada pengkhianatan akan berlaku.
“Nama saya Zahid Hamidi. Tidak pernah ada istilah mengkhianati rakan sejati tapi rakan ada (khianat). Tapi tidak apalah, buang yang keruh ambil yang jernih,” katanya.
Mengulangi semula kenyataannya, Umno juga tidak akan menyertai Bersatu memandangkan parti itu berusaha membubarkan Umno.
Sementara itu, mengulas mengenai piagam Umno dan PAS pula, Zahid berkata ia akan diumumkan dalam masa terdekat.
Beliau berkata tidak ada perubahan dalam jawatankuasa teknikal peringkat nasional dan induk dengan sebarang keputusan wajib dimuktamadkan oleh presiden Umno dan PAS.
Selain itu, beliau berkata Umno tidak akan berkompromi soal agama yang menolak fahaman Syiah.
Katanya, Umno dan PAS menolak mazhab yang bertentangan dengan ahli Sunnah Wal Jamaah yang diamalkan oleh masyarakat Islam di negara ini.
“Kita tidak mahu bermusuh dengan mana-mana negara (Syiah) tapi tolong hormati pegangan kita ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Ini kerana ada menteri yang jadi ketua syiah di Malaysia. Menteri itu kita tahu ketika lawatan rasmi konon menggunakan batu karbala. Orang begitu kita lihat mempunyai sikap berpura,” katanya.
Biarpun beliau tidak menyebut nama namun Zahir jelas merujuk kepada Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.
April lalu, gambar menteri itu bersembahyang di atas batu karbala yang dikaitkan dengan Syiah di Masjid Iran mencetuskan kontroversi dan tular di laman sosial. – 14 Julai, 2019.
Komen