Kes seks bebas dan perpustakaan di surau


Zainal Rashid Ahmad

PADA tahun 2002 hingga 2003, hos Edisi Siasat, Wan Kamaruddin Wan Ibrahim dijemput berkeliling sekitar Lembah Kelang bertemu pelajar nakal. Ini program anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan.

Tiap sekolah menyediakan 30 hingga 50 pelajar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dikenal pasti bermasalah dan tiada minat belajar.

Program empat jam ini dijalankan secara tertutup dan formatnya sangat kasual. Suasana hari Ahad tanpa pelajar lain, menjadikan keadaan lebih santai dalam dewan. Formulanya hanya dialog dan berbual hati ke hati.

Wan Kamaruddin pada ketika itu dilihat sebagai hos kontroversial. Apa tidaknya – dialog “apa kejadahnya” dalam program siasatan siaran ntv7 itu, dianggap berbahasa kasar dan tidak relatif dengan remaja.

Tetapi penganjur melihat aspek lain. Memandangkan Wan Kamaruddin adalah hos program yang selalu membongkar gejala negatif hidup remaja, dia dianggap sebagai tarikan untuk pelajar bermasalah hadir ke sesi dialog ini. Paling tidak strateginya untuk memancing perdebatan.

Remaja menganggap Wan Kamaruddin sebagai seteru mereka. Program Edisi Siasat sentiasa mencela, menghentam dan mengkritik remaja.

Geng basikal yang merayau hingga dini hari di ibu kota digelarnya “anak-anak kambing”, manakala yang suka melepak tanpa tujuan di siber kafe digelarnya “mat pokai”. Remaja yang suka menyedut gam atau mengambil arak murah digelar “zombi hidup”.

Namun, apabila bertemu muka dalam sesi tertutup, Wan Kamaruddin bertukar menjadi seorang abang yang prihatin. Sentiasa memulakan sesi dengan kata-kata menyayangi pelajar. Malah, mengakui – apa yang dituturkan dalam Edisi Siasat hanyalah kemarahan seorang abang.

Sebagai penerbit Edisi Siasat, saya menyertai program ini untuk berkongsi maklumat kes pembabitan remaja dalam gengster serta pengedaran dadah.

Ini antara pengalaman tragik. Pada satu keadaan, kami di Edisi Siasat sentiasa menyerang remaja. Pada sesi tertutup pula, kami menyantuni mereka sebagai aset masa depan negara yang berharga.

“Kami bukan anak kambing!” Itu ayat marah yang selalu dilontarkan pelajar bengkel.

“Kalau macam itu, janganlah malukan ibu bapa…,” balas Wan Kamaruddin dengan senyuman dan nada mesra.

Ini skil Wan Kamaruddin. Dia bijak menangani remaja dan sentiasa mendengar dengan tekun tiap komen dan permasalahan yang dikemukakan.

Program ini banyak dilakukan di kawasan penduduk setinggan dan Projek Perumahan Rakyat (PPR). Suasana petempatan yang tidak kondusif terutama di sekitar Kampung Medan, Taman Datuk Harun, Perumahan Cheras, perkampungan setinggan di sekitar Ampang dan Sentul dipilih sebagai fokus utama.

“Kami kayuh basikal ke Dataran Merdeka setiap malam minggu kerana tak ada kawasan di Ampang untuk melepak. Kalau lepak di taman, orang masjid akan halau. Kami dituduh menghisap gam!”

“Apa patut kami bagitahu orang masjid. Bahawa kami hanya melepak sebab tak ada kawasan nak main basikal!”

Itu dialog bernada marah yang biasa dilepaskan pelajar. Selalunya, Wan Kamaruddin cuba bersikap mengerti. Namun, tidak akan punya jawapan tepat.

“Mana kami nak melepak kalau di semua tempat yang ada, kami dituduh dengan pelbagai sangkaan buruk!”

Itu suara kemarahan remaja pada waktu itu.

Hamil bersetubuh atas motosikal

Kisah program bersama Wan Kamarudin sudah 15 tahun berlalu. Cuma, saya tidak pernah menyangka pada 2018 pula, kerap dijemput berdiskusi secara tertutup dengan kumpulan remaja bawah umur yang hamil anak luar nikah.

Tugas saya ialah menyakinkan mereka untuk memulakan kehidupan baharu setelah melahirkan bayi.

Paling terkejut, dalam sesi tahun lalu, program yang membabitkan 19 remaja berusia antara 14 hingga 18 tahun, jadi mengejutkan saya. Kes persetubuhan banyak berlaku di taman bunga tidak jauh dari masjid atau surau.

“Kamu melakukannya di kawasan dekat surau dan masjid?” Tanya saya.

Gadis bawah umur hanya mendiamkan diri. Saya terkejut dan bertanya lagi: “Takkan orang masjid tak halang kamu semua melepak atas motosikal dan sampai sempat melakukan hubungan seks?”

Secara kesimpulan, jawapan mereka ialah: “Siapa peduli. Orang masjid dan surau pun dah malas melayan perbuatan kami.”

Sejak itu, saya melobi di banyak tempat untuk mendapatkan sokongan supaya masjid dan surau lebih mesra dengan remaja.

Masjid dan surau harus dijadikan tempat remaja mengisi waktu. Masjid dan surau wajar bersikap mesra remaja ketika seusia 12 tahun.

Tapi, apakah tarikan yang bakal membuatkan masjid dan surau mesra remaja?

Sejak tahun lalu, saya ke sana-sini menjual idea; aspirasi mewujudkan perpustakaan dengan bahan bacaan mesra remaja. Mengisi rak-rak buku di sisi belakang dewan solat dengan dekorasi ruang bacaan yang catchy.

Saya juga teringat puluhan judul buku yang pernah dibaca serta kesannya yang mendidik dan memotivasikan diri ketika remaja.

Cuma era sekarang, budaya membaca harus dipupuk. Namun, cabaran utama ialah mendapatkan ruang perpustakaan di kawasan PPR tidaklah mudah.

Penyelesaiannya ialah surau. Setiap PPR memiliki surau. Ruangnya lapang dan terbuka serta boleh dipantau. Perpustakaan yang mesra generasi milenial mampu menjadi tarikan. Taman ilmu dengan buku-buku wajar menjadikan surau dan masjid ‘dekat di hati’ remaja.

Cuma, agak penat jadinya. Setelah naik turun melobi di sana-sini, banyak pihak sekadar bersetuju. Hanya bersetuju sahaja. Isu kewangan untuk membina sudut buku menjadikan idea ini hanya disokong tetapi tidak didukung.

Pengalaman bersama Wan Kamaruddin pada 2003 dan dalam tempoh 15 tahun pula, saya melihat perbezaan yang penuh kejutan. Dulu orang surau menghalau remaja melepak di kawasan berdekatan surau. Sekarang, anehnya – remaja hamil sebab bersetubuh di taman permainan berhampiran surau.

Ia membuatkan saya semakin percaya, surau di PPR perlu segera berperanan. Perpustakaan dengan buku-buku menarik serta sesi interaksi dan motivasi pada hujung minggu di sudut bacaan, antara kaedah mendekatkan remaja dengan ilmu dan ibadah.

Surau dan masjid perlu meluaskan budaya ilmu dalam menangani remaja melalui projek buku dan interaksi motivasi.

Kita harus mengulangi semula inisiatif Khalifah Harun al Rasyid (766 - 809 Masihi) dan perpustakaan Bait Al Hikmah di Baghdad. Bahawa, buku itu daya utama pembangunan ilmu dan minda. Sekaligus pembina sahsiah bangsa.

Bukankah Bait Al Hikmah yang melahirkan pemikir ulung Al Khawarizmi (780 - 850 Masihi). Genius Islam yang mencipta matematika algebra dan legasi astronomi?

Ayuh… kita mulakan projek Baitul Hikmah mencari Al Khawarizmi moden di PPR seluruh ibu kota! – 14 Julai, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen