21 pendatang haram Afrika ditahan serbu Pantheon di Paris


Mereka menuntut Perancis mengubah undang-undang pendatang tanpa izin. – Gambar AFP, 14 Julai, 2019.

PERANCIS semalam menahan 21 pendatang Afrika yang menyerbu masuk ke Pantheon di Paris untuk menggesa undang-undang status pendatang diubah, kata polis.

Kesemua 21 orang itu akan ditahan sementara menunggu siasatan kerana “melanggar undang-undang pendatang,” kata pihak berkuasa tempatan.

Salah seorang daripada mereka juga ditahan atas dakwaan mengasari pegawai polis dan dijangka dihadapkan kepada majistret hari ini, kata pendakwa raya Paris.

Kumpulan kecil orang awam berhimpun di luar bangunan polis daerah lima Paris di mana pendatang itu ditahan. Mereka memegang plakad mendesak pihak berkuasa untuk “membebaskan Vest Hitam” dan “polis rasis”, menurut jurugambar AFP.

“Vest Hitam” adalah pertubuhan pendatang di Paris yang mengambil nama pergerakan anti kerajaan “Vest Kuning”.

Pihak berkuasa menahan 37 orang pada Jumaat selepas hampir 700 pendatang tanpa izin menyerbu Pantheon, makam tokoh-tokoh terhebat Perancis termasuklah penulis Voltaire, Victor Hugo dan Emile Zola.

Dalam kenyataan pada Jumaat, pergerakan Vest Hitam berkata mereka mahukan “dokumen pengenalan dan rumah untuk semua orang”, menyifatkan mereka sebagai “kumpulan tanpa pengenalan, tanpa suara dan tanpa wajah Republik Perancis”.

Mereka juga menuntut pertemuan dengan Perdana Menteri Edouard Philippe.

“Vest Hitam” dikenali kerana mengadakan himpunan menarik perhatian untuk menyokong pendatang tanpa izin.

Jun lalu, mereka menakluk ibu pejabat syarikat katering dan hartanah Paris, Kumpulan Elior dan pada Mei aktivis menduduki sebuah terminal di Lapangan Terbang Charles De Gaulle menentang “kerjasama Air France” untuk penghantaran pendatang haram. – AFP, 14 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen