SEBANYAK 141 pendatang dari rantau sub-Sahara diselamatkan di laut antara Sepanyol dan Maghribi pada Sabtu, dari beberapa kapal, kata perkhidmatan menyelamat maritim Sepanyol.
Dua bot yang membawa 86 orang, salah satunya sudah mulai tenggelam, ditemui di Laut Alboran, sempadan perairan Mediterranean antara kedua-dua negara, jurucakap perkhidmatan memberitahu AFP.
Beberapa orang sudah berada di dalam air ketika penyelamat tiba, tetapi kesemua 86 orang berjaya diselamatkan, termasuk 14 wanita dan tiga kanak-kanak.
Sementara itu, di barat, di Selat Gibraltar, bot penyelamat berjaya menyelamatkan tiga lelaki dalam kayak, dan 52 orang lagi - termasuk 14 wanita - dalam bot keselamatan.
Kira-kira 11,000 pendatang tiba di Sepanyol melalui laut sejak awal tahun ini dan 203 orang meninggal dunia ketika cuba menyeberang dari utara Afrika, menurut angka terbaru daripada Organisasi Antarabangsa untuk Migrasi (IOM), yang dikeluarkan pada Rabu.
Sepanjang tempoh yang sama di Mediterranean secara keseluruhannya, 682 meninggal dunia atau hilang ketika cuba menyeberang dari utara Afrika, manakala 31,600 pendatang berjaya sampai ke Eropah, menurut IOM. – AFP, 14 Julai, 2019.
Komen