Desakan hidup dorong nelayan ambil jalan mudah guna bom ikan


Jason Santos

Nelayan sanggup mengambil risiko menggunakan kaedah bom ikan kerana hasil tangkapan yang diperoleh tiga kali ganda berbanding cara lain. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 14 Julai, 2019.

ABDUL Rakim, 57, duduk di anjung rumah sambil membaiki jaring ikannya di Kampung Tanjung Aru Baru, sebuah kampung air di daerah Tanjung Aru yang terkenal dengan pemandangan matahari terbenam yang indah di tepi pantai.

Jaring tangkapannya koyak apabila tersangkut serpihan kayu selepas keluar menjala menaiki sampan dua malam yang lalu berhampiran Pulau Gaya, katanya.

“Jaring lebih selamat, walaupun tangkapan tidak banyak. Saya boleh dapat tiga kali ganda jika gunakan bom ikan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pada tahun 1980-an, Rakim kehilangan tiga jari di tangan kanannya dalam letupan ketika menangkap menggunakan bom baja bersama rakan di Lahad Datu.

“Saya masih muda; baru saja berkahwin ketika itu. Baru tiba di Sabah dari selatan Filipina. Saya terdesak untuk mencari rezeki,” kata pemegang kad pelarian IMM13.

Rakim berkata ketamakan menjadi pendorong keputusannya untuk mengambil risiko menggunakan kaedah mengebom ikan, selepas belajar membuat bom menggunakan baja di negara asalnya yang didominasi oleh penduduk Islam.

Beliau berkata biasanya, aktiviti bom ikan dilakukan oleh seorang individu dan seorang pembantu, tetapi ketika bom diletupkan, tangkapan itu biasanya dikongsi dengan mereka yang membantu mengambil ikan.

“Apabila bom meletup, ikan akan mula terapung, bersama buih di permukaan air. Semua orang mula menyauk ikan yang mati.

“Ada yang pergi menyelam dengan bantuan alat pernafasan, yang terdiri daripada hos plastik panjang dimasukkan ke dalam mulut dan sirip berenang buatan sendiri, sejauh 15m di bawah air untuk mengambil ikan yang mati atau terkejut,” katanya mengenai aktiviti yang sudah dihentikannya sejak bertahun lalu.

Rakim berkata risiko terhadap nyawa dan kelahiran anak perempuannya yang ketiga mendorongnya menghentikan kegiatan menangkap ikan secara berbahaya itu.

“Sehinggalah anak ketiga lahir, saya mula memikirkan siapa yang akan menjaga keluarga jika saya mati akibat bom ikan.

“Wangnya lumayan tetapi risiko tinggi. Saya pernah lihat ada rakan yang anggota badan hancur, kerana bom meletup serta-merta apabila dihidupkan,” katanya.

Beliau berkata kebanyakan pendatang jarang ke hospital kerana berisiko ditahan oleh pegawai Imigresen atau bertembung dengan polis yang meminta rasuah.

“Saya takut apa yang akan berlaku kepada keluarga jika saya ditahan dan dihantar pulang. Inilah sebabnya apabila berlaku kemalangan, kami cuba rawat sendiri kecederaan,” kata Rakim dan menambah ada beberapa kawannya yang meninggal dunia kerana tidak mendapatkan rawatan.

Nelayan yang ditemui mengakui sukar menghentikan aktiviti bom ikan memandangkan permintaan terhadap ikan terus naik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 14 Julai, 2019.

Rakim berkata pada 1990-an, beliau berpindah ke Pulau Gaya dan menetap di Tanjung Aru Lama untuk melarikan diri daripada kelompok rakannya yang mengamalkan bom ikan.

“Isteri saya merayu berkali-kali agar saya berhenti. Dia berkata tidak mengapa jika tidak dapat membawa pulang tangkapan besar, selagi ada makanan yang hendak dimakan.”

Bagaimanapun, beliau mengakui menghentikan aktiviti bom ikan bukanlah mudah, kerana ramai sanggup melakukannya selagi permintaan untuk ikan terus meningkat.

Kematian tiga penyelam, termasuk dua orang warga China, akibat terkena bom ikan pada 5 Julai, menyebabkan aktiviti boleh mengakibatkan maut itu kembali menjadi perhatian.

Walaupun polis Sabah menyifatkannya sebagai kes terpencil, WWF-Malaysia berkata, purata sebanyak 65 pengeboman ikan sebulan direkodkan, berdasarkan kajian selama empat bulan tahun lepas.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub menafikan bom ikan semakin berleluasa, menyifatkan kejadian pada 5 Julai sebagai luar biasa.

Pegawai negeri dan ahli alam sekitar bagaimanapun percaya bom ikan sering terjadi, dan tangkapan ikan di kawasan itu akan runtuh akibat pemusnahan terumbu karang yang berfungsi sebagai habitat untuk kehidupan laut jika kegiatan tersebut tidak ditangani atau dihentikan sepenuhnya.

Sekiranya ia dibiarkan, industri pelancongan negeri yang berkembang pesat dengan ratusan ribu rakyat Sabah bergantung kepada industri perikanan akan menerima kesan negatif. – 14 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen