AKTIVITI pengeboman ikan berlaku setiap hari di perairan Sabah sehingga mendatangkan bahaya kepada nelayan dan memusnahkan hidupan laut, kata pegawai kerajaan negeri.
Timbalan Pengarah Taman-Taman Sabah (TTS), Dr Maklarin Lakim berkata pasukannya mengesan kegiatan tersebut melalui alat pengesan bom yang dipasang berhampiran Taman Marin Tun Sakaran di Semporna.
“Buat masa ini, pengesan bom kami yang dipasang di jeti Sipadan hanya dapat mengesan letupan tetapi tidak dapat tunjukkan lokasi yang tepat,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.
Pada 5 Julai baru-baru ini, tiga penyelam termasuk dua warga China yang maut akibat pengeboman ikan.
Walaupun polis Sabah mengklasifikasikannya sebagai kes terpencil, WWF-Malaysia mendakwa purata 65 kegiatan pengeboman ikan berlaku dalam sebulan. Ini berdasarkan kepada kajian yang mereka jalankan selama empat bulan tahun lalu.
Pegawai kerajaan negeri Sabah pula percaya jumlah itu jauh lebih tinggi dan menjangkakan hasil tangkapan ikan akan berkurangan disebabkan terumbu karang yang berfungsi sebagai habitat ikan musnah akibat aktiviti mengebom ikan yang tidak terkawal.
“TTS ditubuhkan pada 1964 dan menurut rekod kami, kegiatan pengeboman ikan sejak zaman 70-an,” kata Maklarin.

Namun, pada ketika itu kegiatan ini tidaklah menjadi-jadi seperti sekarang.
“Cepat dapat duit ditambah pula permintaan terhadap makanan laut yang meningkat. Kami percaya ada sindiket di belakang nelayan yang guna bom ikan, disebabkan industri makanan laut yang semakin popular,” katanya.
Tambah beliau, nelayan yang terlibat terutamanya di Pantai Timur kini menggunakan bot pam yang menurut pihak berkuasa membolehkan mereka melalui perairan yang cetek.
Ini menyukarkan pihak berkuasa mengejar mereka yang meloloskan diri ke perairan cetek seperti kawasan paya bakau untuk bersembunyi.
“Persoalannya sekarang, nelayan ini dapat duit dari mana untuk beli bot pam? Dan juga, dari mana mereka dapat duit beli bahan buat bom ikan termasuk peledak?,” soal Maklarin.
Maklarin yang juga penyelidik kanak di TTS berkata kegiatan pengeboman ikan di Sabah berasal dari Filipina.
Tetapi tentera Amerika Syarikat yang mengajar rakyat Filipina bagaimana menangkap ikan menggunakan bom yang lama-kelamaan mereka menggunakan bahan kimia sehinggalah terhasilnya bom baja.

“Ia kemudian merebak ke selatan Filipina dan kemudian Sabah dan seterusnya ke Indonesia.
“Laut Sulu dan Sulawesi juga menerima kesan buruk akibat pengeboman ikan,” kata Maklarin, sambil menambah pandangan beliau itu mungkin memerlukan data dan bukti sokongan.
Menurutnya lagi, kebanyakan bahan untuk membuat bom ikan boleh didapati di pasaran tempatan.
Bom buatan sendiri ini dibuat daripada botol kaca yang diisi serbuk kalium nitrat atau baja ammonia yang dicampurkan dengan minyak tanah.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah, Kamaruszaman Abu Hassan percaya peledak dibeli di Filipina memandangkan industri kuari yang besar di negara itu.
“Bahan-bahan ini sukar didapati di Sabah. Tetapi kita mendapat maklumat yang nelayan boleh dapatkan satu peledak dengan harga RM2,” kata Kamaruszaman.
Antara 2018 dan 2019, APMM Sabah menahan 14 individu dan didakwa di mahkamah bagi 11 kes pengeboman ikan.
“11 kes pada 2018 dan tiga kes tahun ini.” – 14 Julai, 2019.
Komen