SELAMAT datang ke dunia ideal Zunar.
Dalam dunia ini, beliau berpeluang mengecam mereka yang berkuasa, terkenal dan digeruni melalui karya kartunnya bila-bila masa, setiap masa tanpa takut dikenakan tindakan.
Dalam dunia ini, Barisan Nasional (BN) akhirnya akan disingkirkan daripada terus berkuasa dan Malaysia ditadbir pembangkang, dan negara dapat kembali bernafas.
Dalam dunia Zunar, beliau tidak perlu mempertahankan diri mengenai subjek kartun yang menjadi kegemarannya, iaitu isteri perdana menteri, Rosmah Mansor.
Hakikatnya, kartunis paling terkenal dan kontroversi Malaysia ini sedang menghadapi sembilan pertuduhan di bawah Akta Hasutan dan boleh menyebabkan nasibnya berakhir di penjara bagi tempoh 43 tahun.
Beliau semakin sukar mendapatkan penerbit yang sanggup mencetak kartunnya, akibat gangguan agensi kerajaan.
Beliau dikenakan larangan keluar dari Malaysia. Dan beliau hidup dalam ketakutan, bimbang ditangkap polis, menghabiskan masa di lokap dan karyanya disita.
“Takut itu ada, tetapi ia tidak melemahkan saya. Saya akan menjadikan penangkapan dan pendakwaan saya sebagai motivasi untuk meneruskan kerja saya walaupun berdepan kesulitan.
“Bakat saya adalah anugerah Tuhan dan menjadi tanggungjawab saya menggunakannya untuk mendedahkan rasuah,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwar Ulhaque, tidak popular di kalangan mahkamah kerajaan sejak zaman Dr Mahathir Mohamad dengan karya kartunnya yang selalu menyindir pedih ahli politik Malaysia.
Tetapi kerajaan mengambil pendirian lebih tegas terhadap karyanya beberapa tahun kebelakangan ini, seiring peningkatan populariti dan pendekatan tanpa kompromi.
Pada 26 November 2016, Zunar ditangkap, ditahan dan disiasat di bawah Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan.
Tahun lalu, beliau terpaksa membatalkan pameran di Pulau Pinang kerana serangan penyokong pro-kerajaan dan dilarang melancong ke luar negara oleh kerajaan Malaysia.
Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Zunar mencabar larangan perjalanan itu.
Pada 2 April 2015, Zunar menerima tamparan dengan sembilan tuduhan di bawah Akta Hasutan dan menghadapi kemungkinan 43 tahun penjara.
Pada 28 Februari 2015, lebih 20 anggota polis menyerbu pelancaran bukunya di Brickfields, Kuala Lumpur dan mengancam menahan serta merampas bukunya, “ROS in Kangkong Land” (RIKL), jika ia diteruskan. Beliau terpaksa membatalkan program ini.
Ratusan buku itu dirampas polis daripada lori pencetak yang dalam perjalanan ke tempat pelancaran.
RIKL adalah koleksi kartun beliau di Internet yang memberi tumpuan kepada satu watak – isteri perdana menteri, Rosmah.
Zunar menerbitkan 18 buku dalam tempoh 30 tahun lalu. Antara karyanya yang diingati adalah 1 Funny Malaysia, “Cartoon-O-Phobia” dan Perak Dalam Kartun.
Di bawah ini adalah petikan temu bual itu:
S: Kartun anda kebanyakannya mengenai Perdana Menteri Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor. Mengapa anda menyasarkan mereka?
Zunar: Ahli politik Malaysia adalah lucu. Bagi saya, Rosmah mudah kerana beliau memberi inspirasi dan lucu serta “cartoonable” dengan rambut besar dan cincinnya.
Hakikatnya, lebih “dominan” pemimpin, lebih mudah bagi kartunis melukis mereka.
S: Mengapa kartun anda menyerang BN dan bukan pembangkang?
Zunar: Saya tidak mempunyai permusuhan peribadi dengan pemerintah. Mereka terlalu kuat sehinggakan media juga takut. Malah kartunis lain juga takut melukis mereka.
Bagi pembangkang, saya menyokong mereka kerana kita mempunyai matlamat yang sama untuk menendang keluar kerajaan BN. Malaysia ditadbir parti politik yang sama selama lebih 58 tahun. Itu sebabnya saya menyasarkan kerajaan.
S: Dengan menolak perubahan rejim ini, tidakkah anda mendedahkan diri kepada soalan perundangan dan sama ada anda perantara yang adil?
Zunar: Saya mahu perubahan rejim sejak 1988 semasa era Dr Mahathir apabila terdapat Ops Lalang. Saya berasa ada sesuatu yang salah dengan kerajaan BN dan begitu banyak ketidakadilan pada sekitar 1980-an.
Sejak itu, saya mahukan perubahan untuk Malaysia yang lebih baik. Tetapi sehingga kini tiada sebarang perubahan. Kerajaan seperti kanser tahap empat, yang tidak boleh dibaiki.
S: Adakah anda fikir kartun anda kadang-kala melebihi had?
Zunar: Siapa sebenarnya mentakrifkan had? Seni sepatutnya tiada sebarang had. Langit adalah hadnya. Fokus saya adalah isu rasuah di Malaysia. Kerana isu itu tidak diketengahkan media, kita perlu membangkitkan perkara itu.
Prinsip saya mudah, “mengapa kita perlu mencubit jika anda boleh menumbuk”. Ini apa yang dilakukan semua kartunis politik di seluruh dunia.
S: Dalam setiap bidang kehidupan, terdapat had. Mengapa anda perlu berbeza?
Zunar: Untuk menggunakan undang-undang jenayah terhadap kartunis adalah salah. Kami bukan penjenayah yang berkeliaran dengan senjata.
Jika Najib berasa terhina dengan kartun maka beliau perlu mengambil tindakan sivil terhadap saya, tetapi kenapa pihak berkuasa menggari saya dan menghumban saya ke dalam lokap.
Sehingga kini, saya tidak pernah menerima panggilan daripada pihak berkuasa untuk menjelaskan kartun saya. Jika mereka tidak berpuas hati atau berasa terhina maka mereka perlu menggunakan saman sivil dan bukan saman jenayah terhadap saya. Supaya saya boleh ke mahkamah dan menjelaskannya sendiri.
S: Dengan semua kes yang tertangguh di mahkamah, adakah anda fikir akan didapati bersalah dan menghabiskan masa di dalam penjara? Kemudian apa?
Zunar: Saya tidak mahu berfikir tentang jika didapati bersalah dan akan ke penjara kerana ia akan menjejaskan kerja dan kreativiti saya.
Saya akan jelaskan perkara itu apabila tiba masanya. Saya tidak mahu merancang terlalu jauh ke depan kerana terdapat terlalu banyak ketidakpastian di Malaysia.
S: Adakah pencetak takut mencetak kartun anda kerana bimbang kehilangan lesen mereka dan ia satu cabaran untuk kartun anda diterbitkan?
Zunar: Pencetak mula berasa bahangnya sejak buku saya dirampas pihak berkuasa. Mereka juga takut menyimpan salinan buku untuk diri sendiri.
Sesetengah pencetak terpaksa mencetak pada waktu malam bagi mengelakkan masalah dengan pihak berkuasa. Saya mempunyai pencetak yang sanggup mencetak buku saya, tetapi saya tidak boleh mendedahkan siapa mereka. Saya juga terpaksa padamkan nama pencetak dalam buku saya.
Kedai buku juga terjejas kerana mereka tidak boleh mengambil buku saya.
S: Anda mencabar keputusan mahkamah yang melarang anda meninggalkan negara. Bagaimanakah larangan itu menjejaskan anda dan kerja anda?
Zunar: Saya pernah menerima kira-kira 10 jemputan setiap tahun untuk mempamerkan kartun saya di luar negara, tetapi itu sudah berhenti. Penganjur tahu saya dilarang ke luar negara dan berhenti menghantar jemputan. – 15 April, 2017.
Komen