Thailand selamatkan lebih 1,000 mangsa pemerdagangan manusia


Polis Thailand menyelamatkan lebih 1,000 orang dari Myanmar termasuk etnik Rohingya yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia yang sebahagian besarnya cuba untuk diseludup masuk ke Malaysia dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini. – Gambar EPA, 13 Julai, 2019.

POLIS Thailand menyelamatkan lebih 1,000 orang dari Myanmar termasuk etnik Rohingya yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia yang sebahagian besarnya cuba untuk diseludup masuk ke Malaysia dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengarah Pusat Perdagangan Kanak-Kanak, Wanita, Keluarga dan Manusia, Suchart Theerasawat berkata dalam tempoh yang sama, polis Thai turut menahan 151 suspek yang terbabit dalam pemerdagangan manusia.

 “Aktiviti penyeludupan telah meningkat dalam tempoh yang sama tahun lepas. Polis Thailand akan terus memperhebat usaha mengesan aktiviti sindiket pemerdagangan manusia ini,” katanya.

Semalam mangsa pemerdagangan manusia dari Myanmar termasuk tujuh wanita diselamatkan oleh polis Thailand di ladang getah di Kampung Thungsan, Chanong, Chana, Songkhla.

Seorang jurucakap polis berkata siasatan awal  mendapati kesemua mangsa berusia antara 14 hingga 50 tahun akan dibahagikan kepada enam kumpulan sebelum diseludup ke Malaysia secara berperingkat.

“Mangsa akan diseludup ke Malaysia melalui beberapa laluan tikus di sempadan Thailand-Malaysia,” katanya.

Pada 9 Julai, polis Thailand menahan tujuh warga Myanmar di Muangkong, Hatyai yang cuba menyeludup masuk ke Malaysia. – Bernama, 13 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen