Turki terima bahagian pertama sistem pertahanan udara S-400


Bahagian pertama sistem pertahanan udara S-400 tiba pangkalan udara tentera Turki di Ankara, semalam. – Gambar EPA, 13 Julai, 2019.

TURKI menerima bahagian pertama sistem pertahanan udara S-400 buatan Rusia semalam, menyebabkan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) bimbang ia akan meningkatkan ketegangan dengan Amerika Syarikat (AS).

Nato sebelum ini berulang kali memberi amaran atas pembelian sistem pertahanan peluru berpandu canggih itu.

Peralatan itu diterbangkan ke pangkalan udara tentera Turki di Ankara.

Washington pada minggu ini memberi amaran tindakan Turki itu akan memberi kesan negatif.

“Nato bimbang akan kesan daripada pembelian itu,” kata seorang pegawai.

Perikatan itu berulang kali menegaskan kepada Turki bahawa sistem Rusia itu tidak sesuai dengan sistem senjata Nato lain, iaitu jet F-35.

AS bimbang jika Ankara menggabungkan S-400 ke dalam pertahanannya menyebabkan risiko data sensitif F-35 akan bocor dan diperolehi Rusia. Malah AS mengancam Turki akan dikeluarkan daripada program jet F-35.

Presiden Recep Tayyip Erdogan yakin AS tidak akan mengenakan sekatan terhadap Turki, selepas bertemu rakan sejawatnya, Donald Trump pada sidang kemuncak G-20 di Jepun bulan lepas.

Menteri pertahanan Turki menerusi kenyataan semalam mengesahkan penghantaran bahagian pertama S-400 telah bermula. – AFP, 13 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen