PEMIMPIN Umno bahagian mempersoalkan sekiranya Najib Razak hanya mahu membantu parti atau memang bercita-cita untuk kembali menjadi perdana menteri.
Mereka mahu Najib menjelaskannya memandangkan bekas perdana menteri itu beriya-iya dilantik menjadi pengerusi majlis penasihat Barisan Nasional (BN).
Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Mohd Zaidi Mohd Said berkata parti tidak boleh menafikan Najib mempunyai kesilapan sewaktu menerajui kerajaan.
Perkara itulah antara isu yang dimanipulasi Pakatan Harapan sehingga menyebabkan rakyat menolak BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, katanya.
“Kesilapan dan kelemahan itu mungkin pada ketika ini tidak semua rakyat boleh maafkan walaupun Najib sudah cuba yang terbaik untuk rakyat.
“Secara peribadi, sekiranya beliau ingin membantu BN, rakyat lebih berlapang dada untuk menerima hakikat ini.
“Ketika ini jika beliau ingin kembali menjadi PM semula, perlu mengambil masa sedikit,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Walaupun orang Melayu Umno sudah boleh menerima pelawaan itu dengan lebih positif kata Zaidi, mereka lebih selesa sekiranya Bersatu itu yang menyertai Umno.
“Umno mempunyai mekanisma sebagai parti politik dari cawangan hinggalah kepimpinan pusat. Ini Bersatu tidak mampu buat sehingga sekarang,” katanya.
Ketua Umno Bahagian Kepong, Rizuan Abd Hamid pula berpendapat, Rizuan mantan presiden masih dapat memberi kelebihan kepada parti untuk memenangi pilihan raya umum akan datang.
Najib juga tidak wajar dipersalahkan sepenuhnya atas kekalahan parti itu dalam pilihan raya lalu, katanya.
Jelasnya, BN gagal menepis isu-isu yang dibawa oleh Pakatan Harapan dan tanggungjawab itu perlu digalas oleh semua pemimpin BN ketika itu.
“Senario sekarang sudah berubah. Najib merupakan aset BN sekarang. Tengok fenomena ‘Bossku’. Apa salahnya kita beri dia satu platform untuk bergerak dengan lebih lancar,” katanya.
Beliau juga menganggap pelawaan Dr Mahathir agar orang Umno menyertai Bersatu sebagai satu helah selepas melihat kejayaan kerjasama parti Melayu itu dengan PAS.
“Kenapa baru sekarang hendak jemput masuk Bersatu? Bila kita ada kerjasama dengan PAS, dia nampak kita kuat dan menjadi ancaman kepada dia.
“Dr Mahathir ini banyak muslihat, sentiasa ada cita-cita tertentu. Bila sudah tersepit baru hendak cari kita,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Mubarak Johor, Dr Mohamed Azam Rauzan melihat perbezaan pendapat dalam parti berhubung pelantikan Najib adalah sesuatu yang sihat.
Setelah dihukum oleh rakyat dalam PRU14 kata Dr Azam, Umno perlu belajar untuk menerima pendapat bahawa dan menyatakan pandangan.
“Berbeza pendapat tidak bermaksud pengkhianat. Sebagai parti yang mempunyai bilangan ahli yang ramai, Umno tidak boleh ada pemikiran stereotaip. Umno perlu matang menerima perbezaan.
“Tetapi pada masa sama, pemimpin-pemimpin Umno juga kena belajar mengawal mulut mereka atau menyalurkan pendapat mereka mengikut saluran parti yang tertutup.
“Perbezaan pendapat biar hanya dalam parti supaya tidak wujud persepsi negatif di luar,” katanya.
Pelantikan Najib sebagai pengerusi penasihat BN itu dipertikai secara lantang oleh beberapa pemimpin parti, seperti dua ahli parlimen Nazri Aziz dan Khairy Jamaluddin.
Nazri yang juga ahli Padang Rengas menyifatkan pelantikan itu sebagai langkah ke belakang dan Khairy, ahli Parlimen Rembau pula menyatakan rasa tidak gembira dengan lantikan berkenaan.
Pelantikan Najib mengetuai lembaga penasihat BN diputuskan sebulat suara oleh dewan tertinggi parti Selasa lalu. – 13 Julai, 2019
Akar umbi persoal jika Najib mahu jadi PM semula
Komen