PRESIDEN Indonesia Joko Widodo bertemu dengan bekas pencabarnya, Prabowo Subianto buat pertama kali selepas pilihan raya presiden (Pilpres) di Stesen MRT Lebak Bulus, Jakarta Selatan, hari ini.
Mengenakan baju putih, kedua-dua pemimpin itu dilihat berjabat tangan sebelum sama-sama menaiki MRT pertama di negara itu yang mula beroperasi pada Mac lalu, lapor Jakarta Post.
Orang ramai yang berada di stesen berkenaan turut melaungkan “Kami sayang kamu” ketika Jokowi dan Prabowo dilihat keluar bersama daripada stesen Senayan pada pukul 10.50 pagi.
“Saya belum pernah menaiki MRT, jadi terima kasih kepada Tuan Presiden kerana bawa saya. Saya ucapkan tahniah kepada Jokowi sebagai presiden,” kata Prabowo ketika turun daripada kereta api berkenaan.
Pengerusi parti Gerindra itu merupakan satu-satunya pencabar kepada pemilihan semula Jokowi pada April. Turut mengiringinya ahli perniagaan yang juga bekas timbalan gabenor Jakarta, Sandiaga Uno.
Prabowo mengumpulkan empat parti politik untuk memberi sokongan dalam saingannya menentang sembilan gabungan parti yang menyokong Jokowi.
Jokowi mempertahankan penggal kali kedua dengan meraih 55.5% daripada 85 juta undi, manakala Prabowo mendapat 68 juta undi atau 44.5%.
Prabowo yang beberapa kali mendakwa memenangi pilhan raya itu sejak 17 April, mencabar keputusan akhir di Mahkamah Konstitusi, dan mengatakan Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) berkomplot dan memihak kepada penyandang.
Mahkamah memutuskan untuk mengekalkan kemenangan Jokowi selepas Prabowo gagal membuktikan dakwaannya.
Ramai yang bimbang bahawa polarisasi semasa pilihan raya akan bertambah buruk memandangkan Prabowo telah menahan dirinya daripada bertemu Jokowi atau mengucapkan tahniah kepadanya atas kemenangannya. Pertemuan pada hari ini sepatutnya menolak kebimbangan berkenaan.
“Jika pemimpin mempunyai komunikasi yang baik maka lebih mudah memberi nasihat ... kerana demokrasi memerlukan semak dan imbang,” kata Prabowo.
Jokowi berkata: “Selepas pemilihan, Alhamdulillah saya dan Prabowo bertemu lagi.”
Kedua-dua pemimpin itu kemudian dilihat menuju ke restoran Sate Khas Senayan berdekatan sebuah pusat membeli belah. – 13 Julai, 2019
Komen