Malu kita dengan arkib filem negara jiran


Daniyal Kadir

MALAYSIA mempunyai banyak filem-filem yang signifikan terhadap budaya, pembangunan sosial, keadaan politik, ekonomi, pendidikan dan geografi negara.

Filem seperti Kaki Bakar, Abang, Jagat, Mukhsin, Kala Malam Bulan Mengambang, Mat Som, Mekanik, Ranjau Sepanjang Jalan, Jogho, Man Laksa, XX-Ray, Bunohan, Songlap, Ola Bola, Kolumpo, Kembara Seniman Jalanan, Layar Lara dan banyak lagi kalau mahu disenaraikan di sini.

Namun apa yang kita lakukan untuk menghargai khazanah berharga ini? Setakat ini kita lakukan terlalu sedikit, ya terlalu sedikit untuk menghargainya.

Kita tak pernah menggerakkan program penghargaan filem dalam skala besar, yang menjalankannya setakat ini adalah komuniti-komuniti filem bebas. Mereka mempunyai mata yang lebih cerah, pemikiran yang lebih bersinar dalam hal-hal menghargai filem.

Namun, agensi-agensi yang sepatutnya mengangkat program penghargaan sinema tempatan ke peringkat lebih besar, mencakupi audiens lebih luas masih tidak berbuat apa-apa.

Mereka beranggapan selepas tamat sesebuah filem itu ditayangkan di pawagam, maka filem-filem itu semua hanya disimpan di stor, tidak lagi dilawati, tidak lagi dibincangkan.

Begitulah cara agensi-agensi besar ini menghargai filem. Jangankan bercakap tentang arkib filem, bercakap tentang membuka stor, memacakkan skrin dan memancarkan cahaya pada layar pun mereka masih enggan.

Tidak pasti mengapa keengganan ini muncul.

Antara perkara paling mudah untuk menghargai filem-filem penting ini ialah meraikan sambutan jublinya atau ulang tahunnya. Misalnya tayangan khas sempena 10 tahun filem Kaki Bakar. Diadakan acara besar-besaran, ditayangkan pada format HD, berkualiti tinggi selepas melalui restorasi, diadakan perbincangan selepas tayangan, dijual segala macam memorabilia pada acara berkenaan.

Kaki Bakar bukan filem kecil anak, ia membawa nama negara ke luar dan mendukung segala macam budaya bangsa di dalamnya.

Mungkin juga sambutan 50 tahun filem Dr Rushdie, dilaksanakan restorasi dan diadakan seperti yang disebutkan di atas. Dijemput karyawan yang terlibat dalam pembikinannya jika masih ada dan berkongsi pengalaman tentang filem itu. Diterbitkan buku khas sempena 50 tahun Dr. Rushdie.

Tapi semuanya tak pernah dilakukan. Sebab apa? Sebab kita tak pernah berbangga dengan sinema kita. Kita sudah gila dan tak mahu belajar menjadi waras.

Belum pernah kita menyambut ulang tahun ke berapa entah sinema Malaysia atau sinema Melayu. Sebab apa? Sebab kita tak pernah berbangga.

Finas, Arkib Negara dan Filem Negara mempunyai pelbagai koleksi klasik yang hanya terperap di stor. Mengapa tak mahu didigitalkan dan dimuat naik di saluran YouTube rasmi untuk kita dapat nikmati khazanah negara secara lebih santai berasaskan teknologi terkini seperti dibuat Korea sekarang. Kita boleh menikmati filem klasik Korea di saluran YouTube rasmi mereka.

Tapi mengapa kita tak buat? Soal duit selalu dikatakan penghalang, namun saya tak melihat duit sebagai penghalang, yang menjadi penghalang ialah malas, malas, malas, tak peduli, tak peduli, tak peduli.

Kita sangat dahagakan arkib filem yang benar-benar sebagai sebuah arkib. Arkib yang menjadi medan wacana, tayangan, gedung ilmu. Arkib yang hidup dengan pelbagai program penghargaan sinema.

Mulakanlah langkah awal, kalau kita tak melangkah, bagaimana kita mahu berjalan, berlari dan seterusnya terbang.

Malulah kita dengan negara jiran seperti Singapura yang sudah jauh meninggalkan kita berbatu-batu. Malulah kawan-kawan. Malulah. – 13 Julai, 2019

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

* Daniyal Kadir ialah penulis buku Membedah P.Ramlee, Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur dan Anggota Sidang Komuniti Filem Titiwangsa.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen