Isu permit pemandu e-hailing tak akan selesai, kata Pemuda Umno


Diyana Ibrahim

Peraturan usang dan sistem lapuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan dapat menangani 200,000 pemandu e-hailing yang terlibat, kata Pemuda Umno.– Gambar AFP, 13 Julai, 2019

KERAJAAN tidak akan dapat menyelesaikan masalah pemandu kereta perkhidmatan e-hailing beroperasi tanpa permit sah walau melanjutkan tempoh selama tiga bulan, kata Pemuda Umno.

Pengarah strategi Pemuda Umno Wan Agyl Wan Hasan berkata peraturan usang dan sistem lapuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan dapat menangani 200,000 pemandu terlibat.

Wan Agyl yang juga bekas ketua jabatan perancangan dan polisi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yakin ia tidak akan dapat dilaksana.

“Tempoh tambahan tiga bulan untuk (kuatkuasa) Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) tidak akan mencukupi memandangkan peraturan dan undang-undang JPJ yang uzur,” katanya.

Malah terlalu banyak isu dalam operasi dalaman terutama sistem JPJ yang harus diberi perhatian oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke sebelum ia dapat dilaksanakan, katanya.

Beliau memberi contoh, kerajaan menetapkan 200,000 pemandu itu menghadiri latihan dan ujian namun pusat JPJ seperti di Selangor hanya boleh menampung 50 orang dalam satu masa

“Saya percaya beliau tidak tahu pun nak memulakan pelaksanaan itu jika Loke tahu peraturan it lebih terperinci beliau tidak akan menguat kuasa undang-undang itu,” katanya.

Tambahnya lagi, peraturan perkhidmatan e-hailing itu juga bertentangan dengan dasar awal yang dibangunkan SPAD agar industri itu lebih terbuka tanpa kawal selia keterlaluan, katanya.

Loke semalam mengumumkan kerajaan melanjutkan tempoh selama tiga bulan lagi bagi pemandu e hailing untuk mematuhi syarat yang ditetapkan.

Loke semalam mengumumkan pemandu berkenaan akan diberi nasihat, pendidikan dan amaran akhir supaya melengkapkan semua syarat dan mematuhi peraturan tersebut untuk tempoh tiga bulan lagi.

Ahli Parlimen Seremban itu berkata, ia susulan keputusan Kabinet untuk menguatkuasa peraturan perkhidmatan e-hailing itu secara lembut.

Kerajaan pada Mac lalu memutuskan pemandu kenderaan e-hailing wajib mendapatkan lesen memandu kenderaan perkhidmatan awam (PSV) dan lesen pengendali perkhidmatan e-hailing.

Selain itu pemandu berkenaan juga diwajibkan menjalani pemeriksaan kenderaan di pusat pemeriksaan kenderaan (Puspakom) dan menetapkan tarikh akhir 12 Julai 2018 untuk berbuat demikian.

Kerajaan seterusnya bersetuju memberikan tempoh satu tahun sehingga 12 Julai tahun ini kepada kesemua pengendali perkhidmatan e-hailing iaitu Grab untuk membuat persediaan.

Namun sehingga seemalam, pemandu kenderaan e-hailing yang tidak mematuhi syarat itu bagaimanapun didapati masih bebas beroperasi.

Menurut Loke, setakat ini jumlah calon yang lulus ujian PSV adalah seramai 22,981 orang.

Sebanyak 17,596 permit kenderaan e-hailing (eVP) dikeluarkan, dengan 13,380 adalah eVP kenderaan persendirian, dan 4,216 untuk eVP teksi, katanya. – 13 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen