MANTAN presiden Umno, Najib Razak membidas segelintir pemimpin Umno yang mempertikaikan pelantikan beliau sebagai pengerusi lembaga penasihat Barisan Nasional (BN).
Najib berkata, kenyataan itu tidak wajar kerana Umno perlu diperkukuhkan kembali selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
“Sebab itulah yang kata-kata sumbang itu sehari dua ini, ukurlah badan sendiri. Hangpa bila pemilihan MT (Majlis Tertinggi) pun tidak berani bertanding, lepas itu hendak tegur orang lain. Apahal ini?
“Kita tidak boleh macam itu. Kita mesti cari jalan bagaimana kita boleh berpakat sesama kita. Yang mana ada kekuatan, sumbang pada parti. Kalau bossku boleh beri nilai tambahan, yang untung Umno dan Barisan Nasional,” katanya.
Walau tidak menyebut nama-mana mana individu, beliau dipercayai merujuk kepada kenyataan pemimpin Umno yang mempersoal pelantikannya ke jawatan pengerusi lembaga penasihat BN.
Antara tokoh Umno yang mempersoalkannya adalah Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Abdul Aziz sebelum ini yang menyifatkan pelantikan itu sebagai langkah ke belakang.
Nazri juga tidak bertanding dalam pemilihan jawatan ahli majlis tertinggi Umno sebaliknya keanggotaan beliau selama ini dalam majlis tersebut berdasarkan lantikan presiden parti.
Mengulas lanjut, Najib berkata Umno kini dapat menilai sejauh mana semangat perjuangan pemimpin parti untuk kembali bangkit melawan selepas kekalahan dalam pilihan raya tahun lalu.
“Mungkin sewaktu saya menjadi perdana menteri sukar hendak nilai. Bila ada kuasa, semuanya ‘ok bos’, ‘tabik bos’.
“Kadang-kadang belum sempat saya habis ayat sudah ‘setuju bos’. Itulah dia (sikap pemimpin) bila ada kuasa.
“Sebab itulah antara pemimpin-pemimpin dalam kerajaan (dahulu) bila tidak ada kuasa, kita lihat siapa berani lawan, siapa takut, siapa lari bawah katil dan siapa yang sanggup menegakkan perjuangan Umno,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pendang, Kedah, malam tadi. – 13 Julai, 2019
Komen