DUTA PBB dari 37 buah negara mengeluarkan kenyataan bersama semalam mempertahankan layanan China terhadap etnik Uighur dan minoriti lain di daerah Xinjiang dalam balasan langsung kepada kecaman Barat awal minggu ini.
Utusan seluruh Kesatuan Eropah (EU)- bersama-sama Australia, Kanada dan Jepun serta New Zealand- sebelum itu menandatangani kecaman bersama terhadap tindakan China di Xinjiang, apabila sejuta orang, kebanyakannya etnik Uighur dilaporkan disumbat dalam kem tahanan.
Semalam, sebuah kumpulan negara lain- termasuk Rusia, Arab Saudi, Nigeria, Algeria dan Korea Utara- menyuarakan sokongan kepada Beijing.
“Kami memuji pencapaian menakjubkan China dalam bidang hak asasi,” kata surat itu yang turut ditandatangani Myanmar, Filipina, Zimbabwe dan beberapa negara lain.
“Kami mengakui wujudnya unsur keganasan, pemisahan dan keagamaan yang menyebabkan kerosakan teruk kepada semua etnik di Xinjiang,” katanya.
Kumpulan hak asasi dan bekas tahanan menggambarkan kem tahanan di Xinjiang sebagai “kem pemusatan” di mana Muslim Uighur dan pelbagai etnik minoriti lain dipaksa berasimilasi kepada etnik Han.
Menyuarakan hujah China tentang kem itu, surat semalam menyifatkan kem itu sebagai “pusat pendidikan vokasional dan latihan”.
“Sekarang keselamatan dan sekuriti dikembalikan di Xinjiang,” katanya.
Kumpulan duta itu meminta surat itu direkod sebagai dokumen rasmi Majlis Hak Asasi, yang menamatkan mesyuarat ke-41 di Geneva pada Jumaat.
Duta Barat membuat permohonan sama.
Pada Khamis, Beijing menyifatkan surat kuasa Barat itu sebagai fitnah.
Selepas menafikan kewujudan kem itu, Beijing secara terbuka mengakui kewujudannya menyifatkannya sebagai “pusat pendidikan vokasional” di Xinjiang.
Sejak Oktober lepas, kerajaan tempatan menganjurkan lawatan ke kem itu untuk diplomat dan pengamal media.
Ketua Hak Asasi PBB Michelle Bachelet memohon misi pemeriksaan dilakukan di Xinjiang.
Beijing mengalu-alukan lawatan itu, tetapi pejabat hak asasi PBB menekankan lawatan itu hanya akan diadakan sekiranya mereka mendapat akses penuh kepada semua tempat. – AFP, 13 Julai, 2019.
Komen