Hezbollah bagi amaran Israel bakal diserang jika perang AS-Iran tercetus


Ketua Hezbollah Lubnan Hassan Nasrallah berkata Israel akan dimusnahkan sekiranya perang AS dan Iran tercetus. – Gambar AFP, 13 Julai, 2019.

KETUA Hezbollah Lubnan yang disokong Tehran semalam berkata sekutu AS, Israel tidak akan jadi pihak “berkecuali” jika perang tercetus antara AS dan Iran.

Dan “Iran akan mengebom Israel sepenuh kekuatannya,” kata Hassan Nasrallah dalam satu wawancara disiarkan televisyen Hezbollah, Al-Manar.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas ketegangan antara AS dan Iran semakin memuncak, dan Presiden AS Donald Trump semakin kencang menyelar Republik Islam itu.

“Apabila Amerika faham yang perang ini boleh memusnahkan Israel, mereka akan mempertimbangkan semula,” kata Nasrallah.

“Tanggungjawab kolektif kami di rantau ini adalah bekerjasama menghalang perang Amerika ke atas Iran,” katanya.

Tambahnya, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu tidak akan mendapat manfaat sekiranya konflik tercetus.

Semalam, Dewan Perwakilan AS mengundi menyekat kemampuan Trump menyerang Iran, meluahkan kebimbangan dasarnya boleh mengheret negara itu kepada kancah perang tidak berkesudahan.

Hezbollah dianggap organisasi pengganas oleh AS, dan merupakan satu-satunya cabang masih wujud selepas perang saudara Lubnan 1975-1990.

Tetapi, ia juga pemain politik utama di negara itu, berjaya mendapat 13 kerusi Parlimen pada pilihan raya tahun lepas dan tiga jawatan menteri Kabinet.

Menjawab soalan tentang serangan udara bertubi-tubi dilancar Israel ke atas Syria, katanya, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu “memperdaya rakyatnya”.

Israel melancarkan ratusan serangan udara ke atas negara jiran Lubnan, Syria yang dianggapnya sasaran tentera Iran dan Hezbollah. Ia juga berikrar menghalang Iran mengukuhkan kedudukan tenteranya di situ.

Wawancara Nasrallah dibuat untuk menyambut ulang tahun perang Hezbollah dengan Israel pada 2006, yang membunuh lebih 1,200 warga Lubnan dan lebih 160 warga Israel.

Kedua-dua negara secara teknikalnya masih berperang, dan pasukan pengaman PBB berkata tiga terowong ditemui di sempadan Lubnan dan Israel sejak tahun lepas.

Ketua kumpulan itu juga memberi amaran yang lokasi utama Israel termasuk Tel Aviv berada “dalam kawasan boleh dicapai dengan roket”. – AFP, 13 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen