Langgar akta privasi, Facebook dijangka bayar denda AS$5 bilion


Penyelesaian itu yang akan menjadi denda terbesar dikenakan kerana pelanggaran privasi, masih memerlukan kelulusan Jabatan Kehakiman AS sebelum dimuktamadkan. – Gambar AFP, 13 Julai, 2019.

PIHAK berkuasa AS mendenda Facebook sebanyak AS$5 bilion untuk menyelesaikan siasatan ke atas kegagalan rangkaian gergasi media sosial itu melindungi privasi dan data penggunanya, lapor Wall Street Journal semalam.

Akhbar kewangan itu berkata Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan meluluskan penyelesaian itu dengan undi 3-2, dengan dua ahli Demokratik suruhanjaya itu menentang.

Menurut laporan, penyelesaian itu yang akan menjadi denda terbesar dikenakan kerana pelanggaran privasi, masih memerlukan kelulusan Jabatan Kehakiman sebelum dimuktamadkan.

Facebook tidak menjawab permintaan ulasan oleh AFP.

Penyelesaian itu selari dengan anggaran Facebook tahun ini apabila ia berkata syarikat dijangka membayar antara AS$3 sehingga AS$5 bilion untuk penyelesaian perundangan terhadap “amalan penggunaan datanya”.

Tahun lepas, FTC mengumumkan ia membuka semula siasatan terhadap penyelesaian privasi dicapai pada 2011 selepas Facebook mendedahkan data peribadi puluhan juta penggunannya digodam oleh perunding politik Cambridge Analytica yang bekerja untuk kempen Donald Trump pada 2016.

Facebook juga berdepan pertanyaan tentang kaedah perkongsian data penggunanya dengan rakan perniagaan lain yang melanggar penyelesaian sebelum itu.

Gergasi media sosial dengan dua bilion pengguna seluruh dunia itu juga berdepan siasatan privasi pihak berkuasa AS dan seluruh dunia.

Beberapa pengkritik Facebook berhujah yang syarikat itu perlu dikenakan hukuman lebih berat termasuk pemantauan amalan datanya, atau Ketua Eksekutifnya Mark Zuckerberg perlu dipertanggungjawabkan atas pelanggaran privasi itu. – AFP, 13 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen