17 maut hujan monsun di Nepal


Di timur laut India, banjir monsun Assam kini melanda 21 daerah mengakibatkan beribu-ribu penduduk terjejas. – Gambar EPA, 12 Julai, 2019

SEKURANG-KURANGNYA seramai 17 orang maut selepas hujan lebat monsun yang menyebabkan banjir dan tanah runtuh melanda Nepal.

Di timur laut India, angka kematian meningkat kepada 11 orang dengan enam maut di Assam manakala lima lagi di Arunachal Pradesh, kata pegawai.

Hujan lebat sejak Khamis lalu telah melanda beberapa daerah di Nepal terutama di rantau timur negara dan selatan.

Mengikut angka yang dikeluarkan oleh polis Nepal, tujuh orang lagi cedera dan tujuh lagi dilaporkan hilang.

Tiga terbunuh apabila tembok runtuh di ibu kota Kathmandu.

Pegawai Kementerian Dalam Negeri Umakanta Adhikar berkata, pihak berkuasa tempatan dan pegawai keselamatan sedang berusaha menyelamatkan mangsa yang terjejas dan membawa mereka ke tempat yang selamat.

“Helikopter disediakan jika diperlukan,” katanya.

Jabatan cuaca Nepal memberi amaran pada Khamis lepas bahawa hujan lebat dijangka berterusan selama dua hari dan menasihatkan orang ramai untuk berjaga-jaga.

Hampir 150 penduduk maut tahun lepas ketika musim hujan yang berlaku pada akhir Jun sehingga akhir Ogos di Nepal.

Di timur laut India, banjir monsun Assam kini melanda 21 daerah mengakibatkan beribu-ribu penduduk terjejas. – AFP, 12 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen