Awi Rafael anjur konsert bantu waris tahfiz terbakar


Nabihah Hamid

Awi Rafael selaku penganjur konsert itu berkata pihaknya akan mendermakan 20 peratus keuntungan kepada keluarga mangsa tahfiz yang terkorban. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 1 Oktober, 2017.

BEBERAPA penyanyi Malaysia, Indonesia dan Singapura akan bergabung dalam sebuah konsert amal minggu depan bagi membantu waris mangsa tahfiz terbakar di Kampung Datuk Keramat pada 14 September lalu.

Konsert pada 8 Oktober itu akan dijayakan oleh penyanyi Malaysia, Awi Rafael dan Kaka, serta Andra and The BackBone dari Indonesia dan Bhumiband dari Singapura.

Awi yang juga penganjur konsert berkata, konsert itu akan turut menyelitkan mesej kesedaran mengenai keselamatan bangunan bagi mendidik masyarakat.

“Konsert ini bukan hanya persembahan. Kami ada kerjasama dengan sebuah syarikat keselamatan untuk kongsi maklumat dan ada pameran jenis-jenis alat keselamatan yang ramai orang tidak tahu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Mesej kesedaran keselamatan itu akan diselitkan dalam persembahan yang dijangka mengambil masa dua jam.

Penyanyi lagu “Kalau Aku Kaya” itu berkata konsert yang akan berlangsung di restoran Timbre @ The Row di Kuala Lumpur itu akan mendermakan 20 peratus keuntungan kepada keluarga mangsa tahfiz yang terkorban. 

“Kita juga akan menyumbang 5 peratus dana kepada Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia,” tambahnya.

“Kita bukan hanya buat konsert tetapi kita didik penonton. Ada juga doktor ulas mengenai kanser pada sesi penerangan.”

Konsert itu terhad kepada 200 penonton dengan tiket dijual pada harga RM99.

“Kami juga akan buat kutipan derma khas untuk keluarga mangsa tahfiz terbakar. Yang penting ia diagihkan kepada keluarga, tak banyak pun tetapi sekurang-kurangnya dapat membantu mereka,” katanya, yang berharap tragedi sedemikian tidak berulang. 

Kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat Kuala Lumpur pada 14 September lalu mengorbankan 23 nyawa. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 1 Oktober, 2017.

Awi yang baru-baru ini menziarah pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah itu berkata beliau tidak dapat membayangkan perasaan keluarga yang kehilangan anak dalam kebakaran itu.

“Awi sudah pergi empat hari selepas kejadian di pusat tahfiz, sempat berjumpa dengan keluarga dan pengetua.

“Konsert ini sebenarnya sudah dirancang sebelum kejadian lagi tetapi kami ambil keputusan untuk menyumbang kepada waris mangsa,” tambahnya.

“Muzik perlu ada tujuan dan ia bukanlah untuk dapat keuntungan semata-mata.”

Dalam kejadian pada 14 September lalu, 23 orang terbunuh dalam kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat Kuala Lumpur. 

Hasil siasatan mendapati, kebakaran terbabit berpunca daripada perbuatan khianat.

Susulan daripada kejadian itu, polis berjaya menahan tujuh suspek utama hasil siasatan dan pemerhatian yang dibuat menerusi rakaman kamera litar tertutup pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang terletak bersebelahan premis pusat tahfiz berkenaan. 

Berikutan itu, dua remaja di bawah umur yang merupakan antara suspek ditahan sebelum itu didakwa atas 23 tuduhan membunuh di Mahkamah Majistret Jalan Duta pada 28 September lalu.

Kedua-dua mereka turut didakwa atas tuduhan menggunakan dadah bersama empat remaja bawah umur yang lain berumur antara 15 hingga 17 tahun.

Semua mereka sebelum ini ditahan reman sejak 16 September lalu. Seorang bagaimanapun dilaporkan tidak didakwa dan dipercayai akan menjadi saksi pendakwa. – 1 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen