TURKI menerima penghantaran pertama sistem peluru berpandu S-400 dari Rusia pada Jumaat, kata kementerian pertahanannya, walaupun menerima amaran daripada sekutu Nato, Amerika Syarikat yang membantah pembelian itu.
“Penghantaran itu merupakan kiriman pertama sebahagian daripada sistem pertahanan peluru berpandu S-400 bermula 12 Julai, 2019 ke pangkalan udara Murted di Ankara,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Penghantaran yang dibuat melalui pesawat itu, dijangka akan meningkatkan lagi ketegangan dengan AS selepas Washington memberi amaran minggu ini bahawa akan timbul akibat “yang sebenar dan negatif” sekiranya Ankara membeli sistem pertahanan Rusia.
Jabatan Negara Amerika Syarikat telah mengatakan bahawa para pegawai Turki menyedari sepenuhnya Penentangan Amerika Melawan Tindakan Sekatan, sebuah undang-undang yang diluluskan oleh Kongres pada tahun 2017 yang mengarahkan sekatan untuk pembelian senjata yang “signifikan” dari Rusia.
Washington mengancam untuk menggugurkan Turki daripada program jet pejuang F-35, dan memberi Ankara tempoh sehingga 31 Julai untuk membatalkan pembelian S-400 atau juruterbangnya dalam program berkenaan akan digugurkan daripada latihan.
Namun Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan berkata, selepas pertemuannya dengan rakan sejawat dari AS, Donald Trump bulan lalu, beliau yakin Ankara tidak akan berdepan sekatan kerana memberi sistem peluru berpandu Rusia. – AFP, 12 Julai, 2019
Komen