R. Kelly ditahan atas tuduhan pornografi kanak-kanak


Penyanyi R&B R.Kelly sebelum ini didakwa terlibat dalam kes penderaan terhadap kanak-kanak perempuan dan dibebaskan daripada perbicaraan kes pornografi sepuluh tahun lalu. – Gambar AFP, 12 Julai, 2019.

PENYANYI Amerika Syarikat (AS) R. Kelly ditahan dakwaan pornografi kanak-kanak dan beberapa dakwaan lain, lapor akhbar New York Times.

Ini merupakan siasatan terbaru terhadap penyanyi R&B atas kesalahan jenayah seksual.

New York Times melaporkan Kelly, 52, atau nama sebenarnya Robert Kelly ditahan ejen persekutuan di Chicago lewat semalam.

Kelly sebelum ini didakwa terlibat dalam kes penderaan terhadap kanak-kanak perempuan dan dibebaskan daripada perbicaraan kes pornografi sepuluh tahun lalu.

Pada 1994, dia mengahwini penyanyi R&B Aaliyah yang ketika itu berumur 15 tahun. Perkahwinan mereka kemudian dibatalkan.

Aaliyah meninggal dunia dalam nahas kapal terbang pada 2001.

Sebelum dia ditahan semalam, Kelly diikat jamin AS$100,000 bagi beberapa dakwaan termasuk lima kesalahan jenayah seksual di Chicago. Kesalahan didakwa dilakukan antara Mei 1998 dan Januari 2010, menurut pendakwa raya.

Jika sabit kesalahan, Kelly akan menerima hukuman penjara enam hingga 30 tahun bagi setiap kesalahan. – AFP, 12 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen