Sekatan AS jejas industri pelancongan Cuba 


Pantai Varadero di Matanzas, Cuba dinobatkan sebagai pantai kedua terbaik di dunia. Industri pelancongan Cuba mengalami kerugian AS$38 bilion akibat sekatan hampir setengah abad oleh Amerika Syarikat.– Gambar EPA, 12 Julai, 2019

INDUSTRI pelancongan Cuba mengalami kerugian AS$38 bilion akibat sekatan hampir setengah abad oleh Washington, lapor agensi berita Xinhua demikian menurut Menteri Pelancongan Manuel Marrero pada Khamis.

Marrero berkata sekatan yang dikenakan Rumah Putih baru-baru ini, memaksa kementerian menurunkan sasaran pelawat kapal pesiar antarabangsa kepada 560,000 orang pada separuh kedua tahun ini. 

Pada Jun, pentadbiran Presiden Donald Trump meningkatkan sekatan perjalanan, melarang kapal pelayaran Amerika Syarikat dari belayar ke Cuba dan membatalkan perjalanan kumpulan pendidikan ke pulau Caribbean.

Menteri itu berkata meskipun sekatan berkenaan menyebabkan sasaran kedatangan pelancong menurun sebanyak 10 peratus, Cuba dijangka menerima sebanyak 4.3 juta pelawat asing pada 2019.

Bagi mengatasi kesan sekatan AS, pemimpin industri merancang untuk membuat dasar perniagaan pelancongan yang fleksibel untuk menarik lebih ramai pelabur dan mempromosi pelancongan dari negara lain, katanya.

Sektor pelancongan adalah sumber pendapatan asing utama bagi pulau itu. – Bernama, 12 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen