SEKURANG-kurangnya lima orang terbunuh dan ramai lagi cedera dalam serangan pengebom bunuh diri pada satu majlis perkahwinan di timur Afghanistan, kata seorang pegawai kepada AFP.
Taliban, yang berikrara mahu mengurangkan kadar kematian orang awam, menafikan bertanggungjawab dalam serangan di wilayah Nangarhar itu.
Kawasan berhampiran sempadan Pakistan itu merupakan tempat tinggal kepada organisasi pemberontak termasuk IS, yang pernah melancarkan serangan sebelum ini.
“Pagi ini sekitar jam 8 pagi, pengebom bunuh diri bertindak meletupkan diri pada satu majlis perkahwinan di daerah Pachiragam, kata jurucakap gabenor Nangarhar, Attaulah Khogyani kepada AFP.
“Akibatnya, lima orang terbunuh dan 40 lagi cedera.”
Sementara itu, gabenor daerah Pachiragam, Hazrat Khan Khaksar meletakkan angka kematian seramai 14 orang dan 14 lagi cedera namun beliau memberi peringatan bahawa jumlah mangsa itu mungkin akan berubah.
Jurucakap hospital di wilayah Nangarhar, Zahir Adil memberitahu AFP, dua mayat dan 11 yang cedera dibawa ke hospital di tengah bandar Nangarhar.
Serangan itu berlaku beberapa hari selepas rundingan bersejarah antara wakil Afghanistan dan Taliban yang merupakan sebahagian daripada usaha yang diketuai AS untuk menamatkan konflik di negara itu. – AFP, 12 Julai, 2019
Komen