PEMANDU khidmat kereta pesanan (e-hailing) masih memandu tanpa lesen kenderaan perkhidmatan awam (PSV) walaupun peraturan mengenainya berkuat kuasa bermula hari ini, kata Persatuan Pemandu E-Hailing Malaysia (Mehda).
Kebanyakan syarikat perkhidmatan kereta pesanan masih tidak menggantung pemandu mereka yang masih belum mendapatkan lesen PSV kerana mereka masih perlu cari makan, kata Presiden Mehda Daryl Chong.
“Pemandu ambil risiko terus beroperasi tanpa PSV kerana mereka perlukan wang,” katanya kepada The Malaysia Insight.
Syarikat perkhidmatan kereta pesanan dan pemandu yang ditemubual oleh The Malaysian mengesahkan kenyataan Mehda.
“Mulanya kami gantung aplikasi sejak tengah malam tadi. Tetapi pemandu merungut dan kami buka semula aplikasi pada 6 pagi tadi,” kata pengurus pengurusan kenderaan Dacsee, Andrew Chua.
“Pemandu beritahu kami yang pemandu Grab, MyCar dan EzCar yang belum dapat PSV masih juga memandu,” kata Chua.
Dacsee mempunya lebih 400 pemandu dengan hanya 10 pemandu yang mendapatkan lesen PSV.
Menurut Chuah, pemandunya sedia tanggung risiko disaman oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang setakat ini belum menetapkan lagi bentuk hukuman.
“Kita pun tidak tahu apa hukuman ke atas pemandu kalau mereka ditangkap memandu tanpa lesen. Saya hanya dengar desas-desus yang pemandu akan didenda dan kereta pula boleh ditahan jika mereka kena tangkap,” kata Chuah.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke dijadual mengadakan sidang media petang ini untuk membuat pengumuman dan penjelasan mengenai isu PSV untuk perkhidmatan kereta pesanan.
Jurucakap Grab memberitahu The Malaysian Insight, syarikat itu akan mengeluarkan kenyataan mereka selepas sidang media Loke.
Seorang pemandu khidmat kereta pesanan, yang enggan namanya didedahkan, berkata beliau terus memandu walaupun belum dapat lesen PSV.
“Walaupun tarikh akhir untuk dapatkan lesen PSV (semalam), saya tak ada dengar pasal sekatan lagi,” kata pemandu itu kepada The Malaysian Insight.
Seorang lagi pemandu Grab memberitahu beliau sudah siap sedia untuk tidak memandu hari ini tetapi memandu juga kerana beliau masih boleh mengakses aplikasinya dan menerima tempahan.
“Tetapi ada kawan-kawan saya tidak sanggup ambil risiko, takut JPJ buat pemeriksaan,” katanya.
Seorang lagi pemandu berkata beliau tidak mahu ambil risiko dan menunggu pengumuman Grab sebelum memikirkan tindakan lanjut.
Kementerian Pengangkutan menetapkan hari ini sebagai tarikh kuat kuasa penggunaan lesen PSV dalam kalangan pemandu perkhidmatan kereta pesanan. Langkah itu bertujuan menyeragamkan perkhidmatan industri itu dengan perkhidmatan teksi.
Seorang pemandu Grab berkata beliau menjangkakan pemandu sambilan akan menarik diri kerana tuntutan lesen dan kos lain yang berkaitan.
Pemandu perlu menjalani latihan selama enam jam dan membayar RM200 untuk lesen PSV. Kereta yang berumur lebih tiga tahun pula perlu diperiksa oleh Puspakom.
Syarat lain ialah pemeriksaan kesihatan, caruman Perkeso, insurans tambahan dan memasang alat pemadam api di dalam kereta.
Seorang lagi pemandu Grab berkata proses mendapat lesen berkenaan memakan masa. Walaupun Puspakom sudah meluluskan keretanya, beliau masih perlu tunggu untuk mendapatkan permit dan dokumen kelulusan lain.
Semalam, Grab memberi amaran pengguna akan menunggu lebih lama untuk mendapatkan kereta dan perlu bersedia dikenakan tambang yang lebih mahal kerana kekurangan pemandu.
Seorang pengguna Grab dari Mont Kiara ke Jalan Ampang di Kuala Lumpur pagi ini berkata beliau membayar RM26 untuk perjalanan yang biasanya antara RM15 dan RM17.
Ketua Pengarah JPJ, Shaharuddin Khalid dipetik berkata pemandu khidmat kereta pesanan yang tidak mempunyai lesen PSV boleh dihukum mengikut Seksyen 56(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan.
Mereka yang tidak mempamerkan lesen PSV juga berdepan hukuman sama di bawah Akta Kenderaan Perkhidmatan Awam (Pelesenan dan Kelakuan Pemandu, Konduktor dan Penumpang) 1959. – 12 Julai, 2019
Komen