BEKAS timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa mengambil tindakan undang-undang terhadap Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berikutan dakwaan yang beliau seorang daripada penerima dana SRC International Sdn Bhd.
Ketua pegawai eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) itu berkata, dakwaan itu bukan sahaja tidak berasas dan relevan, ia juga fitnah terhadap beliau dan PAS.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tidak berasas beliau yang saya menerima apa-apa bentuk bayaran dan/atau pembiayaan daripada sumber seperti dinyatakannya dalam akuan berkanunnya.
“Saya bukan sahaja bersedia bekerjasama dengan sebarang siasatan mengenai perkara ini, tetapi juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya,” kata Nasharudin dalam satu kenyataan.
Rafizi dalam akuan berkanunnya berkata Nasharudin menerima sejumlah wang daripada akaun peribadi Perdana Menteri Najib Razak melalui perantara.
Wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib daripada SRC International Sdn Bhd, dipindahkan ke dalam akaun seorang peguam yang kemudiannya diagihkan kepada pemimpin tertentu termasuk Nasharudin, katanya.
Rafizi berkata beliau dimaklumkan mengenai pergerakan wang itu oleh seorang bekas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Januari.
Beliau berkata pegawai yang sudah bersara itu mengetuai siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan mendakwa adanya penglibatan Najib.
“Saya tidak boleh mendedahkan jumlah yang terlibat kerana menghormati rakan saya, ia diklasifikasikan sebagai OSA (Akta Rahsia Rasmi), saya tahu jumlahnya tetapi saya tidak akan mengatakannya, apa yang lebih penting ialah SPRM sudah tahu jumlah itu,” katanya semalam.
“SPRM sudah menyoal peguam dan mendapati bukti yang pemimpin dibayar menggunakan dana SRC International, disalurkan melalui peguam.
“Seorang penerima bayaran daripada peguam itu adalah bekas timbalan presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa,” kata Rafizi.
Rafizi juga membuat laporan kepada SPRM hari ini, menggesa agensi anti-rasuah itu menyiasat semula SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB. – 14 April, 2017.
Komen