Mahkamah batal saman fitnah Loke, Pua terhadap Tajuddin


Bede Hong

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman membatalkan saman fitnah yang difailkan oleh Tony Pua dan Anthony Loke terhadapnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Julai, 2019.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur membatalkan saman fitnah yang difailkan oleh Tony Pua dan Anthony Loke terhadap Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman.

Saman berhubung dakwaan bahawa kedua-dua ahli Parlimen DAP itu cuba menghapuskan sistem raja-raja di Malaysia.

Pesuruhjaya Kehakiman Latifah Mohd Tahar membenarkan permohonan Tajuddin kerana saman yang difailkan gagal memenuhi syarat undang-undang bagi saman fitnah.

“Mahkamah membenarkan permohonan dengan alasan defendan tidak menerbitkan kenyataan berbaur fitnah.

“Mahkamah membatalkan saman berkenaan tanpa mengenakan sebarang kos,” kata peguam mewakili Loke dan Pua, Farhan Haziq Mohamed.

Farhan berkata beliau akan berbincang dengan anak guamnya mengenai tindakan seterusnya.

“Masih boleh fail yang baru. Atau mungkin kami akan merayu keputusan mahkamah.”

Peguam mewakili Anthony Loke dan Tony Pua, Farhan Haziq Mohamed berkata beliau akan berbincang dengan anak guamnya mengenai tindakan seterusnya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 12 Julai, 2019.

Tiada sebarang ulasan dari peguam Tajuddin, Hasnal Rezua Merican.

Tajuddin, Pua dan Loke tidak hadir di mahkamah hari ini.

Loke merupakan menteri pengangkutan manakala Pua setiausaha politik kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng. 

Pada 8 Mei lalu, Tajuddin memfailkan permohonan untuk membatalkan saman tersebut atas alasan kata-kata yang diucapnya tidak merujuk kepada jawatan atau profesion plaintif.

Kedua-dua ahli Parlimen DAP itu menfailkan saman terhadap Tajuddin pada 20 Mac berkenaan ucapan pemimpin Umno itu di Kampung Jawa pada malam sebelum Pilihan Raya Kecil Parlimen Sungai Kandis pada 3 Ogos tahun lepas.

Pua dan Loke berkata dalam ucapannya pada malam itu Tajuddin mendakwa mereka adalah penganut Kristian, dan bersama rakan mereka dalam DAP berusaha untuk menyebarkan agama itu serta cuba menghapuskan institusi raja-raja Melayu. 

Tajuddin juga mendakwa mereka berusaha menubuhkan sistem pemerintahan seperti di Singapura yang mana tidak memiliki raja atau sultan.

Pua dan Loke berkata ucapan defendan dilaporkan di portal berita Malaysiakini pada hari yang sama ucapan itu dibuat dengan tajuk “Tajuddin fires ‘Christian DAP’ salvo to close BN’s Sg Kandis campaign”. – 12 Julai, 2019.

Berita penuh di sini.      


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen