KERAJAAN Venezuela dan pembangkang setuju untuk membentuk satu platform rundingan berterusan bagi menyelesaikan krisis politik di negara itu, kata Norway sebagai orang tengah, semalam.
Kata sepakat dicapai selepas mengadakan perbincangan selama tiga hari di Barbados.
Wakil-wakil Presiden Venezuela Nicolas Maduro dan ketua pembangkang, Juan Guaido mengadakan pertemuan tiga hari bermula Isnin lalu, yang disifatkan Maduro sebagai satu kejayaan.
Perbincangan di Barbados itu diadakan susulan perbincangan pusingan pertama di Oslo pada Mei gagal.
“Enam perkara yang kami bangkitkan dengan kerajaan Norway dan pembangkang,” kata Maduro semalam, menerusi wawancara di televisyen dan radio. Beliau bagaimanapun tidak mempericikan enam perkara tersebut.
Terdahulu, Menteri Luar Norway Ine Eriksen Soreide dalam satu kenyataan berkata kedua-dua belah pihak mencapai kemajuan di rundingan meja bulat yang menurutnya akan terus berbincang bagi mencapai persetujuan.
“Kedua-dua pihak dijangka akan berbincang untuk meneruskan rundingan,” katanya.
Krisis politk di Venezuela bermula sejak Januari apabila Guaido mengisytiharkan dirinya sebagai presiden. Guiado mendapat sokongan daripada lebih 50 negara. – AFP, 12 Julai, 2019.
Komen