PENDAKWAH bebas Wan Ji Wan Hussin dibebaskan dari penjara sementara menunggu Mahkamah Rayuan memutuskan rayuannya terhadap sabitan dan hukuman mengikut Akta Hasutan 1948.
Wan Ji bebas selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan pelaksanaan hukuman penjara setahun ke atasnya ditangguhkan sehingga rayuan diputuskan.
Hakim Abd Halim Aman membenarkan penangguhan itu selepas mendengar rayuan peguam Wan Ji, Mohd Jazlan Jalaludin.
“Saya dengan ini membenarkan hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan,” katanya.
Hakim turut mengarahkan Wan Ji menyerahkan pasport antarabangsanya.
“Tertuduh perlu menyerahkan pasportnya, jika dia tidak ada pasport, dia tidak dibenarkan keluar (negara) tanpa kebenaran mahkamah,” kata Abd Halim.
Bekas penasihat agama Lim Guan Eng itu ditahan di Penjara Kajang sejak Selasa selepas rayuannya untuk membatalkan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada April tahun lalu ditolak.
Wan Ji sebelum ini dikenakan hukuman penjara sembilan bulan selepas didapati bersalah atas tuduhan menghina Sultan Selangor, mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, melalui satu tulisannya di Facebook pada November 2012.

Pada Selasa lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam bukan saja menolak rayuan Wan Ji tetapi menambahkan hukumannya untuk tiga bulan lagi, atas permintaan pihak pendakwaan.
Sementara itu, Radzlan berkata beliau berterima kasih dengan keputusan hakim.
Beliau juga percaya kerajaan akan menghapuskan Akta Hasutan, menambah yang Wan Ji akan jadi orang terakhir didakwa dibawah akta menekan itu.
“Bukan mudah untuk buat undang-undang baharu. Beri masa kepada kerajaan. Saya percaya kepada komitmen kerajaan untuk hapuskan Akta Hasutan.
“Saya boleh jamin awak yang Wan Ji akan jadi orang terakhir disabitkan di bawah Akta Hasutan. Tidak aka nada sesiapa lagi akan dihukum di bawah akta itu,” katanya kepada media selepas prosiding.
Hukuman ke atas Wan Ji mencetuskan kecaman kepada Pakatan Harapan yang didakwa gagal mengotakan salah satu janji manifesto pilihan raya iaitu menghapuskan akta menekan. – 12 Julai, 2019.
Komen