PENUMPANG yang terkejut menceritakan bagaimana mereka melambung dalam pesawat Air Canada ketika ia berdepan masalah dalam perjalanan ke Australia semalam sehingga memaksa ia melakukan pendaratan cemas.
Penerbangan AC33 dari Vancouver ke Sydney berdepan masalah selepas dua jam melepasi Hawaii dan terpaksa berpatah balik ke Honululu, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Boeing 777-200 berjaya mendarat secara “normal” pada jam 6.45 pagi, kata kenyataan lagi, menambah yang “hampir 35 orang cedera ringan”.
Penumpang Jess Smith memberitahu stesen TV tempatan KHON yang “kami semua terhantuk ke siling pesawat dan semua benda jatuh…semua orang ‘terbang’.”
Pesawat itu tiba-tiba menjunam dan “beberapa orang yang tidak memakai tali pinggang kaledar, anda nampak mereka terlambung dan kepala terhantuk siling…ia agak menakutkan,” kata seorang lagi penumpang, Fais Asad kepada KHON.
Jurucakap Pentadbiran Penerbangan Persekutuan dipetik stesen Kanada, CBC berkata kejadian berlaku pada ketinggian 10,973m, 966km dari Honululu.
Pesawat membawa 269 penumpang dan 15 anak kapal.
Air Canada menyediakan hotel dan makanan untuk semua penumpang di Honolulu dan sedang meneliti penerbangan seterusnya untuk mereka, kata kenyataan itu. – AFP, 12 Julai, 2019.
Komen