Lelaki kelar remaja kerana muzik rap didakwa membunuh


Michael Adams didakwa mengelar leher Elijah Al-Amin dalam satu serangan kejam di sebuah kedai serbaneka di bandar Peoria, Phoenix pada 4 Julai lalu. – Gambar AFP, 12 Julai, 2019.

SEORANG lelaki kulit putih yang membunuh remaja kulit hitam di Arizona kerana berasa terancam dengan muzik rap mangsa didakwa kerana membunuh, kata pihak berkuasa semalam.

Michael Adams didakwa mengelar leher Elijah Al-Amin dalam satu serangan kejam di sebuah kedai serbaneka di bandar Peoria, Phoenix pada 4 Julai lalu.

Dia baharu sahaja dibebaskan dari penjara dua hari sebelum itu kerana jenayah serangan berlainan.

Menurut dokumen mahkamah, Adams, 27, memberitahu detektif sebelum serangan, dia melihat remaja itu mendengar muzik rap di lot parkir dan berasa terancam.

“Adams kata muzik rap membuatkannya rasa tidak selamat, kerana sebelum ini dia pernah diserang orang yang mendengar muzik rap,” menurut dokumen mahkamah.

Dalam satu sidang media penuh emosi semalam, Peguam Maricopa County Bill Montgomery menyifatkan pembunuhan itu sebagai sangat kejam dan remaja itu tidak berbuat apa-apa sehingga menjustifikasi serangan itu terhadapnya.

“Apa yang menjadikan kesalahan ini sangat kejam,” katanya melawan sebak, “adalah seorang remaja 17 tahun yang tidak bersalah.

“Dia hanya membeli belah,” tambahnya.

Peguam Adams memberitahu hakim yang anak guamnya menderita penyakit mental dan memerlukan bantuan perubatan dan bukannya dipenjara.

Ahli keluarga mangsa memberitahu Al-Amin bakal berusia 18 tahun dua minggu lagi dan tidak sabar menghabiskan sekolah menengahnya tahun depan. – AFP, 12 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen