AS setuju ekstradisi bekas menteri Colombia


Kedutaan Colombia menyebut kerajaan AS sudah dimaklumkan tentang pelaksanaan permohonan ekstradisi dikeluarkan Mahkamah Agung Colombia pada 2014. – Gambar EPA, 12 Julai, 2019.

AMERIKA Syarikat bersetuju dengan permohonan ekstradisi bekas menteri Colombia yang dijatuhi penjara 17 tahun di negaranya kerana jenayah korupsi, kata kedutaan negara Amerika Selatan itu di Washington semalam.

Kedutaan menyebut kerajaan AS sudah dimaklumkan tentang pelaksanaan permohonan ekstradisi dikeluarkan Mahkamah Agung Colombia pada 2014.

Andres Felipe Arias, bekas penasihat kanan presiden Alvaro Uribe yang mentadbir pada 2002-10 ditahan di Florida oleh pihak berkuasa AS pada 2016.

Bekas menteri pertanian itu dijatuhi hukuman penjara 17 tahun dan empat bulan pada Julai 2014 serta denda AS$16 juta kerana menyeleweng dana awam dan korupsi.

Tetapi sebelum hukuman dilaksanakan, Arias melarikan diri ke AS bersama keluarganya, di mana dia memohon suaka perlindungan politik.

Seorang hakim mahkamah persekutuan pada 2017 mengeluarkan penghakiman Arias boleh diekstradisi, keputusan yang disokong mahkamah rayuan di Atlanta.

Isteri Arias, Catalina Serrano menggesa penyokong mereka meminta Presiden Donald Trump memberikan suaka politik kepada suaminya.

Uribe berulang kali menyifatkan hukuman Arias sebagai “tidak adil”. – AFP, 12 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen