Ketua PBB kecam serangan di Syria sasar hospital


Perang di Syria yang masuk tahun kesembilan sudah membunuh lebih 370,000 orang dan berjuta lagi jadi pelarian. – Gambar AFP, 12 Julai, 2019.

SETIAUSAHA Agung PBB Antonio Guterres semalam mengutuk serangan udara di Syria selepas laporan menyebut empat kemudahan perubatan diserang dalam sehari.

Sebuah pusat ambulans, klinik dan dua buah hospital termasuk di Maarat al Numan, kawasan paling hebat diserang dalam serangan Rabu lalu, menurut Organisasi Kesatuan Penjagaan Perubatan dan Penyelamat, sebuah kumpulan doktor Syria.

“Orang awam dan infrastruktur awam, termasuk kemudahan perubatan perlu dilindungi,” kata Guterres dalam kenyataan dikeluarkan jurucakapnya.

PBB sudah berkongsi koordinat hospital di Maarat al Numan dengan semua pihak bertelagah, kata kenyataan itu.

“Pihak berkonflik perlu menghormati tanggungjawab mereka di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” kata Guterres, menambah yang dalang serangan perlu bertanggungjawab.

Disokong Rusia, tentera Syria sejak April lalu menyerang Idlib, yang dikawal kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS).

PBB sudah memberi amaran yang serangan terhadap pemberontak boleh menyebabkan konflik berdarah di kawasan tiga juta penduduk itu.

Ketua Bantuan PBB Mark Lowcock bulan lepas berkata beliau sudah meminta Rusia untuk menjelaskan bagaimana ia menggunakan data lokasi hospital Syria selepas serangan bertubi-tubi ke atas kemudahan awam itu.

Lebih 23 buah hospital diserang sejak April lalu dalam kempen dianggap kuasa Barat cuba mewujudkan ketakutan awam.

Rusia menafikan pengeboman mensasarkan hospital dan berkata operasinya bertujuan menghapuskan “pengganas”.

Perang di Syria yang masuk tahun kesembilan sudah membunuh lebih 370,000 orang dan berjuta lagi jadi pelarian. – AFP, 12 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen