SEKURANG-kurangnya 11 orang maut dan 78 lagi cedera selepas dua kereta api bertembung di tengah Pakistan hari ini.
Kejadian berlaku di daerah Rahim Yar Khan di wilayah Punjab.
Menurut seorang pegawai kerajaan, sebuah kereta api penumpang dari Lahore merempuh kereta api pengangkut yang berhenti di persimpangan.
Seorang pegawai Stesen Kereta Api Pakistan pula berkata angka kematian mungkin bertambah kerana operasi menyelamat masih diteruskan.
Terdahulu, seorang pegawai polis tempatan memberitahu saluran televisyen, Geo News berpuluh mangsa telah dibawa ke hospital.
“Tiga ke empat orang dalam keadaan kritikal,” kata pegawai itu.
Rakaman video yang disiarkan di televisyen menujukkan kedua-dua kereta api rosak teruk dan pasukan menyelamat yang dibantu orang awam memotong badan kereta api menggunakan kren dan pemotong besi.
Perdana Menteri Imran Khan menerusi Twitter hari ini menyampaikan ucapan takziah.
“(Saya) telah minta menteri kerja raya ambil langkah segera untuk tangani masalah infrastruktur landasan kereta api dan tahap keselamatan ditingkatkan,” katanya. – AFP, 11 Julai, 2019.
Komen