Suspek tembak suami isteri OKU ditemui maut di Pattani


Seorang daripada suspek yang dipercayai terlibat dalam kes menembak sepasang suami isteri yang pekak dan bisu di Pattani, selatan Thailand ditemui maut semalam. – Gambar EPA, 11 Julai, 2019.

SEORANG daripada suspek yang dipercayai terlibat dalam kes menembak sepasang suami isteri yang pekak dan bisu di Pattani, selatan Thailand ditemui maut semalam.

Jurucakap Tentera Bahagian Ke-4, Kol Pramote Prom-in  berkata suspek yang dikenali sebagai Ahamad Maat dari Kg Baloi, Yaring, Pattani itu ditemui maut di hutan di Kg Saban, kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian pada 4 petang (waktu tempatan) semalam.

“Suspek dipercayai maut ketika berbalas tembakan dengan pihak polis pada hari kejadian (9 Julai) dan dibawa rakannya ke hutan itu,” katanya pada satu sidang media hari ini.

Beliau berkata suspek mempunyai dua waran tangkap di Mahkamah Pattani.

Sementara itu, Pramote berkata polis menemui dua buah motosikal dipercayai milik kumpulan suspek. Kedua-dua motosikal yang ditemui itu dilaporkan hilang di Pattani sebelum ini.

 “Pihak polis masih memburu tiga lagi suspek yang terlibat dalam insiden menembak pasangan suami isteri pekak dan bisu itu. Suspek dipercayai masih bersembunyi di Kawasan berdekatan dengan tempat kejadian,” katanya.

Selasa lepas, sepasang suami isteri pekak dan bisu yang dalam perjalanan pulang ke rumah setelah mendapat rawatan di hospital, maut ditembak di Pattani, selatan Thailand.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 petang (waktu tempatan) di Kg Tolang Jalan Pattani-Narathiwat, pasangan suami isteri itu sedang menaiki motosikal pulang dari Hospital Pattani ke rumah mereka di Panare, Pattani.

Mangsa, Rachawud Keawsi, 36, terkena tembakan di bahagian dada, maut di tempat kejadian manakala isterinya, Supassorn Pajjimanon, 28, terkena tembakan di bahagian dada serta kepala, meninggal dunia di Hospital Yaring. – Bernama, 11 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen