ADUN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli menafikan dirinya bersama Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berada di dalam bilik hotel Four Points, Sandakan.
Tegas Juwairiya, peguam beliau sedang meneliti perkara ini dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebar fitnah.
“Saya telah berbincang dengan pihak peguam untuk tindakan undang-undang. Pihak kami akan memantau kes ini dengan sepenuhnya untuk menentukan langkah selanjutnya.
“Apa yang pasti ia fitnah dan menegaskan bahawa saya tidak berada di lokasi itu pada tarikh yang didakwa itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Juwairiya, pihaknya telah membuat laporan polis dan juga kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) pada hari ini berhubung fitnah yang mencemarkan imej dan kredibilitinya selaku wakil rakyat.
Beliau berkata demikian merujuk kepada status yang dimuatnaik oleh pemilik akaun Facebook ‘Aku Darah Anak Malaysia - ADAM’ pada 9 Julai lalu yang mengaitkan dirinya dengan Amirudin.
“Katanya… 11 Mei Di Four Points Sandakan mereka godak video Haziq, Azmin dan Hilman. Tetapi tertangkap CCTV dua YB ini.
“YB yang dulu bising kerana GST ni masuk bilik MB Selangor. Betul kah? Nampaknya geng kartel ni sekali pukul 7 mati !!!!,” tulis pemilik akaun Facebook tersebut.
3 Julai lalu, tersebar rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Hotel Four Point, Sandakan yang dikaitkan dengan video lucah melibatkan Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dan individu yang didakwa Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali.
Video berdurasi tiga minit 37 saat itu memaparkan perjalanan Haziq dari lobi hotel ke bilik yang didiami Mohamed Azmin.
Haziq dilihat memasuki bilik berkenaan jam 1.07 pagi dengan memakai pakaian hitam berhud.
Individu sama dilihat meninggalkan bilik pada jam 1.43 pagi pada 11 Mei lalu.
Dalam rakaman itu turut menyaksikan individu yang mirip Setiausaha Sulit Mohamed Azmin, Hilman Idham berulang alik di sekitar tingkat sama.
Semalam, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menafikan dakwaan yang mengaitkan beliau dengan seorang ahli Adun wanita dari negeri ini.
Amirudin berkata beliau telah berbincang dengan peguamnya dan akan mengambil tindakan sekiranya perlu.
“Saya yakin saya tiada di lokasi yang dikaitkan dalam tuduhan itu, malah pada waktu itu saya berada di Kuala Lumpur,” katanya, semalam.
Amirudin berkata beliau tidak tahu mengapa beliau menjadi sasaran dan menegaskan beliau tidak pernah melakukan perkara di luar batasan.
Tuduhan itu katanya, tidak memberi kesan kepadanya secara individu tetapi apa yang dirisaukan ialah ia seolah-olah sudah menjadi budaya untuk ‘membunuh’ seseorang melalui jalan fitnah
Ditanya sama ada tuduhan itu dibuat ahli parti sendiri, Amirudin berkata beliau tidak pasti mengenai perkara itu.– 11 Julai, 2019.
Komen