EXCO DAP Perak Paul Yong akan diminta untuk bercuti jika siasatan tuduhan merogol yang dikenakan terhadapnya mengambil masa terlalu lama, kata Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu.
“Tiada pendakwaan jenayah lagi masa ini tetapi jika siasatan ambil masa lama, beliau boleh dinasihatkan untuk bercuti,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini.
Faizal berkata beliau menangguhkan beberapa mesyuarat penting hingga siasatan itu selesa.
“Beliau masih exco dan boleh datang ke pejabat tetapi saya perlu menangguhkan beberapa mesyuarat penting,” katanya.
Faizal yang juga ahli Parlimen Tambun menafikan mesyuarat mingguan exco hari ini ditanggungkan kerana siasatan kes itu.
“Mesyuarat exco hari ini ditangguhkan kerana saya di Kuala Lumpur bagi menghadiri mesyuarat lembaga Pengampunan tetapi majlis angkat sumpah ditangguhkan kerana siasatan sedang dibuat terhadap salah seorang exco.
“Tidak sesuai jika saya teruskan tanpa exco yang lain,” kata Faizal.
Ditanya sama ada Yong yang juga exco perumahan dan kerajaan tempatan perlu digantung tugas, Faizal berkata:”Ia hanya laporan dan siasatan dan saya fikir kami hanya boleh menggantung seseorang daripada jawatan jika beliau menggunakannya untuk mempengaruhi proses siasatan.”
“Tetapi kami perlu mengkaji semula jika beliau didakwa,” kata Faizal.
Yong ditahan semalam kerana dituduh merogol pembantu rumahnya seorang warga Indonesia.
Adun Tronoh itu menafikan semua tuduhan itu dan berjanji untuk membersihkan namanya. – 11 Julai, 2019.
Komen