PUTRAJAYA bakal membentangkan semula Akta Profesion Kerja Sosial di Parlimen bertujuan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan sosial selepas lima tahun tertangguh, demikian kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid.
Beliau berkata akan mengarahkan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Rohani Abdul Karim untuk menyerahkan draf akta tersebut di kabinet dalam masa terdekat.
“Sekarang ini kita dalam peringkat draf, dan Rohani sendiri akan bawa RUU ini untuk diserahkan ke kabinet untuk kelulusan dan ia boleh dibentangkan di Parlimen
“Dan saya sendiri akan pastikan RUU ini hantar ke kabinet dalam tempoh tidak lebih sebulan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Bulan Kebajikan Negara 2017, di Bangi Selangor hari ini.
Akta Profesion Kerja Sosial dahulunya dikenali sebagai Akta Pekerja Sosial dan pernah dicadangkan oleh menteri wanita terdahulu iaitu Sharizat Jalil pada 2010.
Namun ia tertangguh kerana bantahan sesetengah pihak kerana dikatakan menghilangkan maksud kerja- kerja sukarelawan.
RUU tersebut dicadangkan untuk merealisasikan hasrat kerajaan yang memerlukan tenaga kerja profesional berpengetahun dan kompetan untuk mengatasi masalah sosial di negara tersebut.
Menerusi undang-undang berkenaan, ia dapat mengubah status pekerja sosial menjadi salah satu cabang kerjaya yang menjamin masa depan sama seperti pekerjaan lain. – 1 Oktober, 2017.
Komen